Gandingan Kang Khai Xing-Aaron Tai melakar sensasi apabila muncul juara Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2024 yang berlangsung di Nanchang, China sebentar tadi.
Lebih manis untuk diperkatakan, kemenangan hebat dilakarkan itu adalah dengan menundukkan wakil tuan rumah yang merupakan pasangan pilihan kedua kejohanan iaitu Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi.
Turun selaku pilihan serta berada di ranking pertama dunia, Khai Xing dan Aaron dilihat sedikit tertekan selepas ketinggalan 0-5 dan 3-8 pada peringkat awal permainan.
Mereka bagaimanapun menyerap tekanan dengan cukup baik untuk mengutip mata demi mata bagi kembali menyamakan kedudukan 9-9.
Aksi selepas itu semakin menarik untuk disaksikan dimana kedua-dua pasangan saling mempamerkan corak permainan pantas serta saling kejar-mengejar mata.
Momentum positif itu diteruskan Khai Xing dan Aaron untuk memenangi set pertama dengan jurang mata 21-18.
Khai Xing-Aaron sedikit hilang tumpuan pada set kedua hingga menyaksikan mereka ketinggalan 4-11 pada rehat ‘interval’.
Walaupun cuba untuk meningkatkan tekanan pada lewat permainan tetapi ia tidak mampu menghalang kemenangan set kedua buat pasangan China itu 21-15 bagi aksi berlanjutan ke ‘rubber set’.
Set ketiga juga berlangsung dengan cukup mendebarkan yang akhirnya tuah memihak Kang Khai Xing-Aaron Tai untuk mengesahkan kejuaraan dengan kemenangan 21-18.
Kejayaan manis itu sekali gus turut menamatkan penantian sektor beregu lelaki remaja negara selama 13 tahun dimana kali terakhir kejuaraan ini dimenangi oleh Nelson Heg Wei Keat-Teo Ee Yi di Taiwan.