Sebelum dijulang sebagai antara pemain tengah terbaik dunia, N’Golo Kante sebenarnya sudah memikirkan pelan B dalam hidupnya jika impian menjadi pemain bola sepak profesional tidak menjadi kenyataan.
N’Golo Kante mendedahkan bahawa beliau pernah mengikuti pengajian Diploma Perakaunan selama empat tahun ketika masih mengejar impian untuk menjadi pemain bola sepak profesional.
Ketika ditanya, adakah beliau mengambil pengajian tersebut sebelum menjadi pemain profesional dan adakah beliau meneruskan pengajiannya setelah menjadi pemain pro?
Kante menegaskan, beliau melakukan kedua duanya. Walaupun beliau sempat menangguhkan seketika pengajiannya kerana jadual bola sepak yang sibuk selepas melakukan debut profesionnal, namun Kante tetap memastikan beliau menamatkan pengajiannya.
Menurut bekas bintang Chelsea itu, keputusan tersebut dibuat kerana beliau mahu mempunyai jaminan masa depan sekiranya karier bola sepaknya tidak memberikan pendapatan yang mencukupi.
“Saya mempunyai Diploma dalam Perakaunan. Saya memilih untuk belajar perakaunan selama empat tahun sambil mengejar impian menjadi pemain bola sepak profesional supaya saya mempunyai sesuatu untuk bergantung jika bola sepak tidak lagi memberi saya pendapatan,” kata Kante.
Kisah ini sekali lagi menunjukkan betapa merendah diri dan berpandangan jauh pemain Perancis itu, yang terkenal dengan gaya hidup sederhana walaupun telah memenangi pelbagai trofi termasuk Piala Dunia 2018, Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah.
Kante juga menerima sekitar USD25 juta semusim di Liga Saudi sebelum menyertai Fenerbahce di Turki.
Di media sosial, ramai memuji keputusan Kante mengambil jurusan perakaunan. Ini kerana ia boleh membantu Kante dalam mengetahui selok belok tentang pengurusan kewangannya.