Kapten Burnley FC, Joshua Brownhill kini berada dalam radar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk dinaturalisasikan bagi menyarung jersi skuad Harimau Malaya pada masa datang.

Perkembangan itu dilaporkan oleh wartawan tempatan yang turut mengesahkan seorang lagi pemain dari Belanda iaitu Iggy Houben turut berpotensi mewakili Malaysia.

Baca Juga:

Kedua-dua pemain itu didakwa memiliki darah keturunan Malaysia dan memerlukan dokumen yang sahih untuk membuktikannya sebelum layak menyarung jersi negara.

Laman pencari bakat, frfuturetalents mendedahkan telah menerima email rasmi daripada Josh Brownhill yang mengakui memiliki darah keturunan Malaysia daripada neneknya.

“Saya boleh mengesahkan bahawa saya mempunyai keturunan Malaysia melalui nenek saya, merupakan sesuatu yang amat saya banggakan.

“Walaupun saya memberi fokus kepada kerjaya kelab saya sehingga sekarang,  mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa adalah sesuatu yang saya sedia untuk mempertimbangkan.

“Saya menghargai minat dan sokongan daripada komuniti bola sepak Malaysia, saya pasti akan pertimbangkan dengan teliti sebarang peluang di masa depan,” jelasnya kepada Frfuturetalents.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin sebelum ini mengakui salah satu cara untuk meningkatkan prestasi skuad kebangsaan adalah dengan membawa masuk lebih ramai pemain warisan.

Ketika ini, beberapa pemain warisan yang beraksi bersama skuad Harimau Malaya seperti Corbin Ong, Daniel Ting, Darren Lok sudah mencapai usia lebih 30 tahun dan tidak mampu lagi beraksi untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Oleh itu, beberapa pemain kacukan baharu yang berada di luar negara perlu direkrut segera bagi menggantikan tempat pemain berdarah campuran tersebut.