Selepas menjelajah beberapa lokasi sepanjang tahun ini, Karnival Jom Heboh (KJH) 2026 bakal menutup tirainya dengan acara berskala besar di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, dari 27 hingga 29 November 2026.
Lebih menarik, edisi penutup kali ini turut berlangsung menerusi kerjasama dengan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM), anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Gabungan ini bakal menyatukan elemen hiburan, aktiviti kekeluargaan dan pendidikan kewangan dalam satu acara yang boleh dinikmati oleh seisi keluarga.
Peluang Menang Rumah Dua Tingkat, Kereta BYD & Hadiah Lumayan
Antara tarikan utama yang pastinya mencuri perhatian pengunjung ialah tawaran hadiah cabutan bertuah menerusi MSAM.
Bayangkan pulang dari karnival bukan sekadar membawa kenangan manis, tetapi berpeluang memenangi sebuah rumah teres dua tingkat di Suasana Bandar Ainsdale, sebuah BYD Seal Performance serta pakej pelancongan bernilai RM50,000.
Bukan itu sahaja, pengunjung yang memenuhi syarat penyertaan turut berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah menerusi cabutan bertuah harian sepanjang tiga hari penganjuran. Antaranya termasuk Toyota Vios, Perodua QV-E, motosikal dan pakej percutian.
Lebih 150 Reruai, Aktiviti Keluarga & Konsert Artis Popular
Selain tawaran hadiah menarik, pengunjung juga boleh menerokai lebih daripada 150 reruai yang menawarkan pelbagai promosi, produk dan aktiviti sepanjang acara berlangsung.
Antara jenama yang mengambil bahagian termasuk Maybank, Sime Darby, Fernleaf, Koko Krunch, Oatlife dan Grab, selain pelbagai jenama lain di bawah rangkaian Media Prima.
Bagi yang datang bersama keluarga, terdapat pelbagai aktiviti menarik untuk disertai seperti Pertandingan Karaoke Drama Sangat, Buletin Challenge, sesi Meet and Greet bersama pelakon drama TV3 dan personaliti TV9 serta Kids Colouring Contest.
Pengunjung juga boleh menikmati pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma, menyertai sesi Zumba serta Jom Lokal Jam.
Sudah tentu, Karnival Jom Heboh tidak lengkap tanpa persembahan muzik. Konsert Jom Heboh bakal menjadi antara acara kemuncak pada malam Sabtu dan Ahad dengan penampilan barisan artis popular tanah air.
Buat penggemar makanan pula, Zon Foodpanda bakal menghimpunkan pelbagai vendor yang menawarkan aneka pilihan makanan dan minuman. Daripada hidangan popular hinggalah sajian unik yang menjadi kegemaran ramai, pengunjung boleh menikmati pengalaman kulinari sambil meluangkan masa bersama keluarga.
Jom Heboh Fun Run Lari Baik-Baik Bersama KWSP Kembali Ke Kuala Lumpur
Dalam masa sama, peminat aktiviti kecergasan juga boleh menyertai Jom Heboh Fun Run Lari Baik-Baik Bersama KWSP yang bakal berlangsung pada 29 November 2026 (Ahad), bertempat di Stadium Merdeka.
Selepas menerima sambutan menggalakkan di Kota Samarahan, Miri dan Johor Bahru, Kuala Lumpur menjadi lokasi terakhir bagi siri larian tersebut untuk tahun 2026.
Acara ini menawarkan kategori larian sejauh 5KM dan setiap peserta bakal menerima jersi rasmi, pingat penamat eksklusif, beg tote, nombor bib serta pelbagai cenderamata menarik.
Lebih menarik, sebanyak 50 hadiah cabutan bertuah turut menanti para peserta. Mereka juga berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan barisan pelakon drama, personaliti Media Prima serta selebriti popular yang bakal memeriahkan acara berkenaan.
Jumpa Anda Di Stadium Merdeka!
Dengan gabungan hiburan, aktiviti kekeluargaan, pendidikan kewangan dan pelbagai tarikan menarik, Karnival Jom Heboh x MSAM 2026 dijangka menjadi antara acara yang dinanti-nantikan menjelang penghujung tahun ini.
Memasuki tahun penganjuran ke-23, Karnival Jom Heboh terus mengekalkan reputasinya sebagai antara acara komuniti paling ikonik di Malaysia. KJH turut diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records sebagai ‘Longest Running Outdoor Carnival’.
Untuk rekod, Karnival Jom Heboh mencatatkan purata kehadiran melebihi 300,000 pengunjung bagi setiap lokasi, sekali gus membuktikan popularitinya sebagai platform yang menyatukan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti dan pengalaman.
Jadi, tandakan kalendar anda dan ajak keluarga serta rakan-rakan untuk memeriahkan Karnival Jom Heboh x MSAM 2026 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, dari 27 hingga 29 November 2026.
Tiga hari, pelbagai aktiviti dan mungkin juga peluang untuk anda pulang dengan hadiah yang tak pernah dijangka!