Hari pertama di tempat baharu bagi ketua polis Tijuana disambut dengan sedikit kelainan apabila dia menerima ‘hadiah’ berupa kepala manusia dengan ucapan ‘selamat datang’ dan ugutan dari kartel dadah Mexico. Menurut Vice, kepala itu diletakkan di dalam beg plastik hitam dan ditinggalkan di sebelah jalan. Manakala disebelahnya pula ditinggalkan nota pendek yang menuduh ketua polis itu sebagai ‘penculik yang buat kerja untuk Sinaloa Cartel’.
Selain itu, Ketua Polis Tijuana Rafael Vazquez yang telah menjadi pegawai polis selama 19 tahun turut menerima nota ugutan yang menyebut bahawa bandar Tijuana bakal berdarah disebabkan dia. Malam berikutnya, dua lagi ugutan yang sama turut dijumpai di beberapa kawasan di Tijuana bersama-sama dengan daging mentah yang dipercayai dari binatang.
Tijuana adalah laluan utama aktiviti pengedaran dadah ke Amerika Syarikat. Bandar ini telah disenaraikan antara 10 bandar paling ganas di dunia disebabkan kartel dadah yang berkuasa di sana. Sebahagian besar keganasan terjadi apabila berlakunya perang diantara kelompok kartel dadah yang berjuang untuk menguasai sebahagian kawasan di kota.
Menurut media tempatan, mesej ugutan yang diterima oleh Rafael Vazquez datang dari musuh ketat Sinaloa Cartel yang sebelum ini dipimpin oleh Joaquín “El Chapo” Guzmán sehingga dia diekstradisi ke Amerika Syarikat dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas tuduhan mengedar dadah. Ketua polis Tijuana itu masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai kejadian tersebut, tetapi Datuk Bandar Tijuana, Monserrat Caballero menegaskan bahawa dia memberi sokongan penuh kepada Rafael dan mendakwa bahawa tindakan kumpulan kartel tersebut sebagai pengecut.
Rafael sebelum ini pada April 2017 pernah menerima ugutan dan tuduhan yang sama. Kumpulan kartel tersebut telah menggantung sepanduk dan menuduh beliau bekerjasama dengan Sinaloa Cartel dan membuka jalan untuk kumpulan yang kini dipimpin oleh anak El Chapo untuk melakukan aktiviti-aktiviti haram seperti rasuah, peras ugut, pencurian dan penyalahgunaan kuasa. Pada tahun 2019 pula, dia dituduh menjual jawatannya dalam pasukan polis serta melakukan beberapa siri salah guna kuasa. Bagaimanapun, sehingga kini tiada dakwaan rasmi dari pihak pendakwaan yang dijatuhkan ke atasnya.
Di negara seperti Mexico yang dikuasi oleh kartel dadah, tuduhan palsu begini selalu terjadi kepada pegawai polis dengan tujuan untuk menjatuhkan kredibiliti mereka. Hal ini bertujuan untuk ‘membalas dendam’ terhadap pegawai penguatkuasa yang sering mengganggu operasi kartel dadah di sana. Namun Mexico juga tidak lari daripada ahli politik dan pegawai polis yang menerima rasuah dari kartel dadah dengan tujuan untuk menutup aktiviti haram mereka.
Untuk rekod, pada Disember 2019, kerajaan AS menuduh Genaro Garcia Luna – bekas menteri keselamatan awam Mexico dari tahun 2006 hingga ke 2012 – terlibat dengan konspirasi penyeludupan dadah dan menerima jutaan dolar dari El Chapo. Bagaimanapun, Luna telah menafikan segala tuduhan yang dibuat oleh pihak pendakwa raya AS ke atasnya dan sedang menunggu untuk dibicarakan di New York.
Perang dadah Mexico, anak El Chapo bunuh dan gantung mayat musuh di bawah jambatan. Untuk bacaan lanjut, klik pautan di bawah.
Perang Dadah Mexico, Anak El Chapo Bunuh Dan Gantung Mayat Musuh Di Bawah Jambatan
Anak Perempuan El Chapo Dan Kartel Dadah Mexico Turun Padang Bantu Penduduk Terjejas Akibat COVID-19
Polis Buru ‘Pablo Escobar’ Malaysia Selepas Rampas Aset Bernilai Hampir RM400 Juta