Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sekali lagi mencuri tumpuan bola sepak tempatan apabila mengesahkan bahawa mereka kini sedang dalam perbincangan serius bersama legenda bola sepak Portugal, Ricardo Quaresma, untuk menyarung jersi Sang Kenari bagi musim 2025/2026.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pemilik kelab, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar sebentar tadi di laman sosial KDA FC, difahamkan bahawa perbincangan bersama bekas pemain FC Inter Milan, Barcelona, Porto dan Besiktas itu telah dimulakan sejak Mac 2025.

Baca Juga:

Malah, rundingan turut membabitkan penaja dari luar negara yang menunjukkan minat untuk menaja sepenuhnya kehadiran Quaresma ke bumi Darul Aman.

“Pihak KDA FC telah membuat beberapa siri perbincangan bersama pihak Ricardo Quaresma untuk menyertai pasukan Liga Super KDA FC bagi musim 2025/2026 dengan syarat semua perbelanjaan Ricardo Quaresma ditanggung oleh pihak penaja tertentu.”

“Dalam konteks ini, pihak KDA FC juga telah membuat beberapa siri perbincangan awal dengan pihak penaja dalam misi membawa Ricardo Quaresma bersama dengan KDA FC di musim baru.”

“Ini adalah satu penghormatan kepada pihak KDA FC yang mendapat perhatian dan pertimbangan wajar daripada pihak penaja luar negara untuk menjadi penaja rasmi kepada Ricardo Quaresma sekiranya Ricardo Quaresma bersetuju menyarung jersi KDA FC di musim 2025/2026.”

“Secara jujur, benih kepada perbincangan ini – samada melibatkan Ricardo Quaresma atau pihak penaja bagi pihak Ricardo Quaresma – telah pun bermula semenjak bulan Mac 2025.”

“Pihak kami akan meneruskan inisiatif yang baik ini untuk bersiap sedia menyediakan sebuah pasukan yang lebih mampan di musim hadapan dan dalam masa yang sama membuat apa yang terbaik – dengan segala kekurangan masa dan dana – untuk melengkapkan syarat perlesenan bagi musim baru nanti.”

“Mungkin ramai yang sudah membuat tanggapan bahawa KDA FC sudah “terkubur”. Selagi ada ruang dan peluang, KDA FC akan tetap berusaha keras dan kuat untuk menyelematkan kelab KDA FC.”

“Saya percaya dengan sokongan dan bantuan anda semua, akan dapat mengurangkan bebanan kami yang sememangnya amat berat.”

“Kita mendoakan yang terbaik untuk KDA FC dan semoga Ricardo Quaresma menjadi sebahagian daripada keluarga Sang Kenari di masa hadapan.”

“Saya dengan rasa rendah diri ingin menjemput anda semua memenuhi Stadium Darul Aman pada 3 Mei 2025 ini untuk menyaksikan perlawanan persahabatan All Star Kedah dan All Star Malaysia dengan penampilan istimewa Ricardo Quaresma,” ujar beliau lagi.

Dengan harapan yang segar dan sokongan penyokong setia, KDA FC kini sedang menyusun langkah untuk membawa semula sinar kepada bola sepak Kedah. Jika semuanya berjalan lancar, kehadiran Quaresma bakal menjadi detik bersejarah buat kelab dan penyokong Sang Kenari.

Sumber