Penyokong setia kelab bola sepak Kedah Darul Aman (KDA FC) menerima berita gembira di Hari Raya Aidilfitri apabila pasukan itu disahkan bebas daripada sekatan pendaftaran pemain.

Perkembangan tersebut diumumkan oleh laman sosial rasmi KDA FC yang menyatakan mereka telah menerima surat daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenai penarikan balik hukuman sekatan itu.

Baca Juga:

“KDA FC telah menerima surat pengesahan dari FIFA semalam, pada 9 April 2024, memaklumkan sekatan perpindahan pemain dikenakan pada 4 Mac 2024 telah ditarik balik.

“Pihak pengurusan menegaskan, isu ini berbangkit kerana aspek teknikal yang boleh dielakkan sejak awal dan pihak pengurusan telah menyelesaikan tuntutan bekas pemain pasukan Kedah musim 2020 & 2021,” tulis kenyataan rasmi.

Pengesahan ini membolehkan mereka membuat pendaftaran pemain baharu bagi saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

Antara pemain baharu yang menyertai skuad kendalian Nafuzi Zain itu ialah Syafiq Ahmad, Rizal Ghazali serta tiga pemain import iaitu Sony Norde, Sukhrob Nurullaev dan Habib Haroon.

Pihak pengurusan KDA FC dijangka akan membuat sidang media untuk menjelaskan situasi sebenar kelab itu pada minggu depan.

Beberapa hari lepas, MFL mengumumkan hukuman pemotongan tiga mata kepada KDA FC untuk saingan Liga Super musim 2024-2025 dan denda RM 50,000 atas kegagalan membuat penyelesaian penuh tunggakan gaji bagi tahun 2023.

Sekiranya KDA FC gagal membuat pembayaran penuh tunggakan gaji bagi tahun 2023 atau mengemukakan bukti dokumen kewangan untuk menyelesaikan pembayaran pada 20 April 2024 jam 5.00 petang maka Lesen Kebangsaan KDA FC boleh ditarik balik seterusnya kelab itu tidak layak untuk beraksi dalam saingan Liga Super bagi musim 2024-2025.