Kedah Darul Aman (KDA) FC mengambil langkah penting dalam usaha mengurangkan beban kewangan kelab dengan melancarkan kempen ‘Keep The Hope Alive’.

Kempen tersebut diilhamkan bagi mendapatkan sokongan para peminat skuad Hijau Kuning itu turut sama membantu meningkatkan pendapatan pasukan.

Baca Juga:

Perkembangan terkini mengenai perkara tersebut disahkan KDA FC menerusi kenyataan rasmi dikeluarkan pemilik majoriti, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar di  laman sosial kelab itu sebentar tadi.

“KDA FC menjemput penyokong Hijau Kuning untuk bersama-sama membantu kelab dalam usaha menuju kestabilan dan kejayaan pasukan.”

“Kedah Darul Aman FC melaungkan semboyan untuk meraih sokongan daripada peminat dan penyokong dalam usaha untuk mengukuhkan kewangan pasukan.”

“Kempen dengan slogan ‘KEEP THE HOPE ALIVE’ bertujuan untuk menyeru semua pihak berkepentingan termasuk pihak industri bola sepak, swasta, media dan terutamanya peminat dan penyokong untuk bersama-sama KDA FC dalam menyumbang secara langsung atau tidak langsung.”

“Kempen ‘KEEP THE HOPE ALIVE’ meniup semangat kebangkitan bukan hanya dari prestasi kelab dan pasukan tetapi mengajak semua peminat di luar sana untuk membantu apa sahaja yang termampu dalam memastikan harapan untuk terus bersaing dalam Liga Malaysia dapat diteruskan.”

“Peminat boleh membantu kelab yang penuh dengan tradisi bola sepak di Malaysia ini dengan pembelian pra-tempahan T-shirt edisi terhad iaitu bertemakan ‘KEEP THE HOPE ALIVE’.”

“Peminat yang membeli T-Shirt ketika semboyan untuk sokongan ini dilaungkan, akan dimeterai nama mereka di dalam rekod kekal kelab, sebagai antara penyokong tegarnya.”

“Saya merayu kepada semua penyokong Kedah Darul Aman FC untuk sama-sama menghidupkan cita-cita dan emosi lagu kita ‘Biar Jasa Jadi Kenangan’.”

“Kelab ini amat memerlukan anda ketika ini, kerana hanya kita yang dapat menentukan keadaan rumah kita sendiri. Bangun dan pertahankan rumah anda sekarang!”

Peminat KDA FC boleh membeli T-Shirt edisi khas tersebut secara pra-tempahan di store.kedahdarulamanfc.com dalam masa terdekat.

Sumber