Gresini Racing MotoGP telah mengeluarkan perkembangan terkini mengenai keadaan Alex Marquez selepas kemalangan ngeri yang dialaminya dalam perlumbaan Catalunya MotoGP petang semalam.

Pemenang perlumbaan Sprint itu melanggar bahagian belakang jentera pendahulu perlumbaan, Pedro Acosta selepas pelumba Red Bull KTM Factory Racing itu mengalami masalah teknikal ketika memasuki laluan lurus belakang pada pusingan ke-12 daripada 24 pusingan perlumbaan.

Impak pelanggaran itu menyebabkan Alex Marquez terbabas melintasi litar sebelum terjatuh daripada jentera GP26 miliknya pada kelajuan tinggi.

Beliau tercampak dari motosikalnya, dan hampir-hampir melanggar penghadang, tetapi tetap mengalami impak kuat apabila jatuh ke atas permukaan litar.

Selepas itu, Alex menerima rawatan di lokasi kejadian untuk tempoh yang agak lama sebelum dibawa untuk pemeriksaan lanjut.

Perkembangan Terkini Alex Marquez

Kenyataan rasmi yang dikeluarkan Gresini Racing MotoGP mengenai keadaan Alex Marquez menyebut:

“Pelumba itu [Alex Marquez] mengalami patah tulang selangka kanan dan akan menjalani pembedahan malam ini. Satu keretakan kecil pada vertebra C7 pula akan dinilai dalam beberapa hari akan datang.”

Kemudian, lewat malam itu, Alex sendiri memberikan perkembangan terkini menerusi media sosialnya.

“Semuanya berada dalam keadaan terkawal!!

“Saya akan menjalani pembedahan malam ini, tetapi saya berada dalam jagaan doktor/pasukan perubatan yang sangat terbaik dan dipercayai.”

“Terima kasih semua atas keprihatinan dan segala mesej sokongan yang saya terima 💙”