Bola sepak negara dikejutkan dengan insiden pemain sayap Selangor, Faisal Halim yang disimbah asid oleh individu tidak dikenali di salah sebuah pusat beli belah ternama di Damansara baru-baru ini.

Selepas kejadian, Faisal atau yang mesra disapa Mickey terus dilarikan ke hospital swasta terdekat bagi membolehkan beliau mendapatkan rawatan.

Baca Juga:

Hasil tinjauan wakil kami di hospital menunjukkan Faisal mengalami luka bakar yang diklasifikasikan sebagai second degree burn ekoran disimbah asid di beberapa bahagian badannya.

Selain Faisal, pemandu peribadinya juga dilaporkan mengalami kecederaan selepas terkena renjisan dari asid yang dilemparkan oleh individu tidak dikenali tersebut.

“Faisal Halim mengalami trauma selepas kejadian yang menimpa dirinya dan seluruh ahli keluarga berada di hospital ketika ini bagi memberi sokongan terhadap beliau,” kata wakil Vocket FC.

Kejadian ini hanya berjarak kurang dari seminggu selepas pemain sayap Terengganu, Akhyar Rashid disamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Dalam kejadian tersebut, Akhyar bukan saja disamun tetapi beliau turut mengalami cedera dibahagian kepala kerana dipukul individu tidak dikenali.

Pemain berusia 25 tahun itu juga kerugian RM4,800 selepas beg tangan jenama LV dan dompet jenama Coach dilarikan dua penjenayah yang memakai jaket hoodie berkenaan.

Peminat bola sepak tanah air menggesa agar pihak polis segera menjalankan siasatan menyeluruh dan membawa si pelaku ke muka pengadilan.