Tonggak Selangor FC, Faisal Halim mencuri tumpuan hari ini apabila muncul buat pertama kali dalam satu sidang akhbar selepas kejadian mangsa simbahan asid pada 5 Mei lalu.

Faisal menjadi mangsa simbahan asid yang berlaku di sebuah pusat membeli belah di Petaling Jaya menyebabkan dia mengalami kelecuran tahap empat.

Baca Juga:

Ketika sidang media, Selangor FC turut berkongsi mengenai kronologi dan situasi semasa membabitkan Faisal Halim.

Melihat keadaan luka di tangan dan parut di mukanya, ia sudah cukup untuk menceritakan kesengsaraan dialami Faisal yang terpaksa berehat panjang.

Difahamkan keadaan semasa Faisal Halim atau dipanggil sebagai Mickey menunjukkan beliau tidak dapat menggunakan tangan kiri ekoran terkena asid jenis sulfurik yang disimbah.

“Yang sebelah bawah gambar ketiga ialah ketika pembedahan kedua dah nampak keadaan berubah, gambar terakhir bawah sebelah kanan ialah 10 hari yang lalu,” kata Ahli Lembaga Pengarah SFC, Datuk Seri Shahril Mokhtar ketika sidang media.

Lebih menyedihkan, Faisal juga turut memikirkan untuk bersara daripada sukan bola sepak demi keselamatannya dan ahli keluarga.

“Saya sanggup hilang gaji saya berpuluh ribu untuk berhenti main bola asalkan saya selamat, keluarga saya selamat,” jelas Faisal.

Pemain sayap skuad Harimau Malaya itu telah menjalani empat pembedahan untuk merawat luka kelecurannya itu sebelum dibenarkan keluar dari hospital pada 25 Mei lalu.

Selepas itu, Faisal menjalani proses pemulihan di lokasi dirahsiakan selain kawalan ketat bagi memastikan keselamatannya.