Roy Keane menggesa Harry Kane supaya memberi tumpuan kepada kekuatan utamanya sebagai peledak jika England mahu menjulang trofi Piala Dunia 2026.

Skuad The Three Lions memulakan persiapan mereka bagi menghadapi Piala Dunia di Amerika Utara dengan kemenangan hambar 1-0 ke atas New Zealand, hasil jaringan tunggal Harry Kane yang menjadi pemisah dalam perlawanan tersebut.

Kane memasuki kejohanan itu selepas mengharungi musim yang cemerlang bersama Bayern Munich, dengan meledak 61 gol dalam semua pertandingan, termasuk 36 gol dalam saingan Bundesliga.

Ramai percaya harapan England untuk mencipta kejayaan dalam kejohanan itu banyak bergantung kepada Harry Kane, dan Roy Keane turut berkongsi pandangan yang sama.

Namun, legenda Manchester United itu berpendapat Kane perlu menyesuaikan corak permainannya dengan keadaan dan cabaran yang dijangka dihadapi sepanjang kejohanan musim panas ini.

Keane percaya pengalaman luas yang dimiliki Kane, termasuk bersama Bayern Munich di pentas Eropah, perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam kejohanan kali ini.

“Dia memiliki pengalaman yang cukup sekarang, dan mungkin telah belajar banyak perkara ketika beraksi bersama Bayern dalam perlawanan besar Liga Juara-Juara,” katanya menurut sumber laporan Sport Bible.

“Dia perlu bijak menentukan posisi. Untuk gol yang dijaringkannya menentang New Zealand, walaupun ramai pemain lawan berada di kawasan sendiri, dia hanya menyelinap masuk ke ruang yang tersedia. Itu hasil pengalaman, walaupun agak mengejutkan mereka memberinya begitu banyak ruang.”

“Dengan pengalaman yang dimiliki, dia juga perlu bermain secara lebih bijak, terutama apabila kita bercakap mengenai keadaan cuaca dan cabaran kejohanan ini.”

“Dia tidak perlu turun terlalu jauh melepasi garisan tengah semata-mata untuk mengagihkan hantaran. England mempunyai ramai pemain yang mampu melakukan tugas itu dan memiliki kualiti yang mencukupi. Kane perlu berada di kawasan berbahaya kerana ketika ini dia adalah antara penyerang terbaik di dunia.”

“Jika England mahu memenangi trofi utama, dialah pemain yang perlu menjadi sandaran utama pasukan.”

Sumber