Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin menganggap bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon sebagai tidak profesional.

Ia berikutan tindakan mengejut pengendali kelahiran Korea Selatan tersebut meletakkan jawatan yang disandangnya sejak Februari 2022 sedangkan kontrak beliau hanya akan tamat pada Disember 2025.

Baca Juga:

Menurut sumber video yang dimuatnaik wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam di laman X miliknya, Hamidin meluahkan kekecewaan terhadap tindakan Pan-gon dalam satu sidang media khas yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya sebentar tadi.

“Hari ini dia telefon saya banyak kali dan faks saya, saya tak jawab. Saya kecewalah dengan apa semua (apa yang dilakukan oleh Kim Pan-Gon).”

“Yang sedihnya, FAM menjadi mangsa dekat sini, bagaimana kita menjaga beliau. Kerana beliau mendapat tawaran lebih tinggi, beliau tinggalkan (Malaysia) dan memberikan alasan yang tak betul.”

“Akhirnya saya dapat tahu semasa cuti tersebut, dia telah pergi ke kelab Ulsan Hyundai dan saya telah mendapat informasi daripada pegawai dan ejen dekat sana,” ujar Hamidin lagi.

Seperti diketahui tidak kurang dua minggu selepas mengumumkan peletakan jawatan tersebut, Kim Pan-gon telah diperkenalkan sebagai pengendali baharu kelab saingan K League 1 itu.

Kekosongan ditinggalkan oleh Kim Pan-gon itu kini diisi oleh pembantunya iaitu Pau Marti Vicente dimana Pestabola Merdeka 2024 menjadi tugasan pertamanya buat skuad Harimau Malaya.