Isu penyembelihan ayam yang meragukan di Pasar Pudu baru-baru ini telah mencuri perhatian ramai serta mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, terutamanya umat Islam.

Segalanya bermula apabila sebuah klip video berdurasi kira-kira satu minit dimuat naik oleh pemilik akaun Threads bernama itshans, memaparkan proses penyembelihan yang dilihat tidak memenuhi syariat.

“Apa pandangan korang sebagai umat Islam? Sembelih secara tidak sah, haram untuk umat Islam makan ayam macam ini,” tulis pemilik akaun berkenaan dalam hantarannya yang kini tular.

Dalam rakaman tersebut, tiga lelaki yang dipercayai warga asing dilihat mengendalikan proses berkenaan. Dua daripada mereka bertindak mengeluarkan ayam hidup daripada bakul, manakala seorang lagi menyembelihnya.

Namun, apa yang menimbulkan keresahan utama netizen adalah tindakan pekerja berkenaan yang terus mencampak ayam yang baru disembelih ke dalam tong besar berisi air. Cara pengendalian sedemikian menimbulkan rasa curiga sama ada ayam tersebut mati disebabkan sembelihan atau lemas di dalam air.

Selain itu, persekitaran tempat kerja juga kelihatan amat kotor dengan percikan darah yang dibiarkan di merata-rata tempat.

Respons pantas mengenai isu ini menerusi laporan Harian Metro, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan bahawa pihak mereka kini sedang menjalankan siasatan menyeluruh terhadap syarikat yang terlibat.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menyatakan bahawa pemeriksaan awal mendapati premis berkenaan sebenarnya bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan syarikat bukan pemegang SPHM terkait isu ayam yang sedang tular,” ujar beliau bagi menjelaskan tindakan susulan yang sedang diambil pihak berkuasa.

Tindakan bersepadu antara JAKIM dan PBT ini diharapkan dapat menyelesaikan kekeliruan pengguna serta memastikan premis yang beroperasi mematuhi standard kebersihan dan garis panduan penyembelihan yang ditetapkan.

Orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan menyemak status halal sesuatu premis atau produk bagi memastikan kebersihan dan kesucian makanan yang diambil seharian.