Kedah Darul Aman (KDA) FC menawarkan jawatan Pengarah Teknikal pasukan kepada bekas bintang Portugal, Joao Tomas.
Perkara ini dikongsikan oleh pihak kelab menerusi pengumuman di laman media sosial rasmi pasukan baru-baru ini.
Baca Juga:
- Pemain Kedah Darul Aman Kembali Boikot Sesi Latihan
- Quaresma Gagal Hadirkan Diri, Aksi All Star Kedah Dan Malaysia Ditunda
- Pemain Kedah Dapat Imbuhan Sebelum Bertemu KL City
Kedah Darul Aman Sudah Hubungi Joao Tomas
“KDA FC merasa bangga kerana dapat mengenali dan berkomunikasi dengan Joao Tomas, bekas pemain bola sepak profesional Portugal.
“Selepas bersara, beliau terus aktif dalam dunia bola sepak sebagai jurulatih, penasihat teknikal dan mentor, membawa pengalaman antarabangsa yang luas.

“Pihak KDA FC sudah memaklumkan tawaran awal kepada Joao Tomas untuk berkhidmat selaku Pengarah Teknikal bagi musim 2025/2026 dengan syarat segala perbelanjaan beliau sebagai Pengarah Teknikal ditaja oleh pihak penaja tertentu.
“Pihak KDA FC sudah mendapat maklum balas yang baik dari sebuah pihak penaja daripada luar negara untuk tujuan ini dan dalam proses untuk memuktamadkan semua perbincangan berhubung tawaran dan juga penajaan kepada kos gaji dan perbelanjaan Joao Tomas.
“Usaha yang unik ini, sekiranya berjaya, akan memberi impak yang berkesan kepada persembahan dan pencapaian kelab di masa hadapan dan lebih-lebih lagi kepada semua bakal pihak penaja khususnya dari luar negara.
“Keberadaan nama-nama besar dari peringkat antarabangsa dalam KDA FC sudah pasti akan menjadi tarikan media dan lebih penting lagi, memberi keyakinan kepada banyak pihak tentang semangat dan komitmen Kedah Darul Aman dalam mengharungi musim baru ini.
“Saya difahamkan bahawa Joao Tomas akan turut hadir ke Stadium Darul Aman bersama Ricardo Quaresma pada 3hb Mei 2025 nanti. Jom kita hadirkan diri beramai-ramai untuk menyaksikan perlawanan persahabatan All Star Kedah dengan All Star Malaysia.
“Yang lebih penting lagi, semoga ada beberapa pengumuman penting pada hari perlawanan tersebut tentang barisan pemain dan pegawai KDA FC dari luar negara.

“Jom kita semua support dan bantu KDA FC dengan datang ke stadium beramai-ramai dan juga membuat sumbangan penajaan kepada pasukan Kedah Darul Aman dalam apa saja bentuk dan jumlah sumbangan.
“Sudah pasti ada perbezaan ketara antara orang yang hanya bercakap dan yang melakukan suatu tindakan yang membina.
“Semoga harapan dan impian kita tercapai dengan izin Allah SWT,” dipetik dari kenyataan Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.