Kedudukan AFC MA Ranking Malaysia kini telah berubah selepas Sabah tersingkir daripada saingan Piala AFC musim 2023/24 selepas tewas 0-3 kepada kelab Australia, Macarthur FC semalam.

Menurut kemaskini terbaharu di laman sesawang FootyRankings, Malaysia kekal berada di tangga keenam dalam kedudukan AFC MA Ranking dipintas oleh Australia bagi kategori Asia Timur.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Secara keseluruhan, Australia kini telah mengutip jumlah mata sebanyak 32.221 mengatasi jumlah mata Malaysia iaitu 31.118.

Kemaraan dua kelab A-League, Central Coast Mariners dan Macarthur FC ke pentas final Piala AFC Zon Asean turut menyumbang jumlah mata yang banyak kepada Australia walaupun satu lagi kelab, Melbourne City telah tersingkir di peringkat kumpulan dalam saingan AFC Champions League (ACL).

Kedudukan AFC MA Ranking ini penting kerana ia akan menentukan slot ke tiga pertandingan kelab di pentas Asia iaitu AFC Champions League Elite (ACLE), diikuti AFC Champions League 2 (ACL 2) dan AFC Challenge League (ACGL)..

Bagi saingan ACLE, hanya enam negara teratas akan layak beraksi. Satu slot ke ACLE dan satu lagi slot ke ACL 2 dijangka kekal milik Malaysia pada musim 2025/26.

Pada musim ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) merupakan penyumbang mata terbanyak iaitu 9.000 hasil daripada 3 kemenangan dalam saingan peringkat kumpulan ACL.

Manakala Sabah yang mara ke peringkat separuh akhir Piala AFC Zon Asean telah menyumbang mata sebanyak 5.000 dan Terengganu pula menyumbang mata sebanyak 4.000.

JDT adalah pasukan tunggal dari Malaysia yang konsisten beraksi dalam kejohanan peringkat benua dalam tempoh 8 tahun sejak 2015.

Selaku juara Liga Super 2023, JDT akan beraksi dalam saingan ACLE pada musim 2024/25 manakala Selangor yang merupakan naib juara Liga Super 2023 menyertai ACL 2.