Ikon bola sepak Jepun, Keisuke Honda meneruskan kariernya dengan merantau ke seluruh dunia apabila membuat penampilan sulung dalam Singapore Premier League bersama FC Jurong pada usia 40 tahun.

Masuk sebagai pemain gantian pada penghujung perlawanan bertemu Hougang, bekas bintang Piala Dunia itu menandakan kemunculannya di negara ke-11 sepanjang kariernya.

Singapura Jadi Destinasi Seterusnya Buat Kaisuke Honda

Menyarung jersi nombor empat yang menjadi identitinya, pemain veteran itu masuk ke padang sambil menerima sorakan gemuruh daripada penyokong tuan rumah.

Menggantikan rakan senegaranya, Yuma Tsuzurabara di bahagian sayap kanan, Honda terus memberikan impak walaupun hanya mempunyai masa yang terhad di atas padang.

Pada minit ke-87, tekanan berterusan yang dilakukannya memaksa penjaga gol Hougang, Takahiro Koga melakukan hantaran keluar secara tergesa-gesa.

Keisuke Honda Buat Penampilan Sulung Di Singapura, 'Kembara' Negara Ke-11 Sepanjang Kariernya
Kredit Foto: FC Jurong

Pada masa kecederaan, pemain tengah itu melakukan hantaran menembusi pertahanan yang tepat kepada Mizuki Ando untuk menjaringkan gol, namun jaringan tersebut dibatalkan kerana ofsaid.

Penampilan sulung Honda di Singapura menjadi bab terbaharu dalam karier uniknya yang bermula bersama kelab J1 League, Nagoya Grampus. Perjalanan kariernya turut membawanya beraksi di Belanda, Rusia, Itali, Mexico, Australia, Brazil, Azerbaijan, Lithuania dan Bhutan.

Antara 2018 hingga 2023, pemain yang memiliki 90 kaps bersama skuad kebangsaan Jepun itu turut berkhidmat sebagai pengurus besar pasukan kebangsaan Kemboja sambil terus aktif sebagai pemain.

Terbaharu, dia mewakili kelab Bhutan, Paro FC pada 2024 sebelum menyertai FC Jurong untuk kempen 2026–27.