Aaron Chia-Soh Wooi Yik memastikan Malaysia pulang dengan dua kejuaraan pada Kejohanan Badminton Terbuka Thailand 2025 selepas menundukkan William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer pada aksi final di Nimibutr Stadium, Bangkok sebentar tadi.

Turun selaku pasangan pilihan kedua kejohanan, Aaron dan Wooi Yik dilabel sebagai calon utama untuk muncul selaku juara kejohanan berstatus Super 500 itu bagi mengikuti jejak langkah Pearly Tan-M. Thinaah.

Baca Juga:

Ia merupakan kemenangan kedua dilakarkan pasangan negara itu ketika berdepan dengan Boe dan Kjaer.

Bukan Kemenangan Mudah Buat Aaron-Wooi Yik

Kemenangan itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah walaupun Aaron-Wooi Yik berhadapan dengan pasangan ranking ke-75 dunia tersebut.

Kelebihan 11-8 ketika rehat ‘interval’ dimiliki Aaron-Wooi Yik dipadamkan pasangan Denmark itu untuk mendahului 19-17 dan kemudiannya mencuri set pertama dengan kemenangan 22-20.

Tersentak dengan kekalahan tersebut, anak buah Herry Iman Pierngadi itu bangkit untuk menang set kedua 21-17 bagi mengheret aksi ke set penentuan.

Momentum cemerlang itu diteruskan Aaron dan Wooik Yik untuk mengesahkan kejuaraan dengan kemenangan 21-12.

Dengan kejayaan manis yang dilakarkan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik membawa pulang wang tunai bernilai $37,525 (RM161,191.31) dan mata ranking sebanyak 9,200.

Tumpuan kem negara selepas ini beralih ke Axiata Arena, Bukit Jalil dalam menghadapi Kejohanan Malaysia Masters yang juga berstatus Super 500.