Kerajaan negeri Kelantan menyerahkan sebuah rumah banglo bernilai lebih RM420,000 kepada Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, juara qari lelaki Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63, September tahun lalu.

Penyerahan hadiah itu dibuat di Wadi Iman Eksklusif dekat sini, hari ini.

Muhammad Qayyim yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan sejak lahir memberitahu, banglo itu menjadi hadiah istimewa buat kedua ibu bapanya.

“Alhamdulillah, saya sangat gembira menerima rumah ini dan ia merupakan satu rezeki ALLAH SWT,” katanya selepas Majlis Penyerahan Rumah Banglo Kepada Johan Tilawah Peringkat Antarabangsa 2023 di sini pada Khamis.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, hadiah istimewa itu diberikan sebagai tanda penghargaan dan jasa beliau mengharumkan nama negeri Kelantan sekali gus memperkenalkan negara Malaysia di peringkat antarabangsa, petik Facebook Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan.

“Hari ini, kita berbesar hati menghadiahkan sebuah banglo kepada Johan Qari adik Qayyim yang merupakan seorang anak istimewa sebagai tanda menghargai jasa beliau mendapat pencapaian yang cemerlang dalam pertandingan tilawah Al-Quran.

“Kita mengharapkan akan ada lebih ramai lagi pelapis seperti ini pada masa hadapan, dan usaha ini dijadikan pembakar semangat kepada generasi anak muda menjadikan Al-Quran panduan dalam kehidupan,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Qayyim Sekali gus, mencipta rekod sebagai OKU penglihatan yang menggunakan Al-Quran braille dan muncul juara bagi kategori lelaki pada MTHQA tahun 1445/2023.

Beliau meraih markah membanggakan iaitu 94.96 peratus mengalahkan peserta dari Iran, Alireza Bizhaniavval yang memperoleh 93.30 peratus.