Kelantan, sebuah negeri yang dikenali dengan keindahan alam semulajadinya dengan hutan hijau yang memukau kini berdepan dengan ancaman besar.
Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) menyelar tindakan kerajaan negeri yang meluluskan 54 projek penerokaan hutan yang melibatkan lebih 13,000 hektar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sejak dua tahun lalu, lapor Berita Harian.
Pengerusi KUASA, Hafizudin Nasarudin, menyatakan rasa tidak terkejutnya dengan tindakan ini, memandangkan sejarah pembukaan hutan di Gua Musang yang sudah lama teruk.
KUASA, sebuah NGO alam sekitar yang sudah bekerja lebih 10 tahun di daerah berkenaan, mendakwa dari segi pengurusan hutan, Kelantan adalah negeri paling teruk di Semenanjung Malaysia.
“Jika dahulu di Gua Musang, pembalakan dilakukan secara terpilih namun sekarang pembalakan dibuat secara tebang habis sama ada pembukaan ladang baharu, lombong atau kuari,” katanya.
Kemusnahan hutan di Gua Musang, termasuk di Nenggiri, amat dahsyat.
Di kawasan Kuala Betis, beratus lori keluar masuk setiap hari membawa hasil pembalakan.
KUASA sangat kecewa dengan kerajaan negeri yang dianggap tidak pernah mendengar desakan NGO.
“Sudah tentu kami membantah sekeras-kerasnya kelulusan hutan berkenaan yang boleh menimbulkan banyak masalah pada masa akan datang,” tambah Hafizudin.
Semalam, media melaporkan terdapat 54 kelulusan penerokaan hutan melibatkan lebih 13,000 hektar sejak 2022 di kawasan DUN Nenggiri.
Pendedahan ini dibuat oleh Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Barisan Nasional (BN), Mohd Syahbuddin Hashim, yang turut menuntut penjelasan daripada kerajaan negeri.
Berdasarkan rekod permohonan kelulusan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA), pihaknya mengesan 54 kelulusan baharu penerokaan hutan atas pelbagai maksud seperti ladang hutan, pengkayaan hutan dan lombong di kawasan Gua Musang, kebanyakan dilakukan di kawasan Ulu Nenggiri.
Hafizudin menegaskan bahawa masalah kemusnahan hutan di Gua Musang semakin membahayakan dan sudah membabitkan nyawa penduduk.
“Berapa ramai penduduk mati disebabkan dibaham harimau… pada masa sama penduduk berdepan ancaman gajah disebabkan habitat mereka semakin sempit,” ujarnya.
KUASA memohon kerajaan negeri untuk tidak meluluskan pembalakan secara tebang habis dalam kawasan hutan simpan sebaliknya hanya melakukan pembalakan terpilih.
Banyak kesan buruk yang akan berlaku sekiranya pembalakan tebang habis diteruskan, termasuk pencemaran sungai, tanah runtuh dan banjir lumpur.