Malaysia menamatkan kempen Kelayakan Piala Asia 2027 dengan nota kekalahan selepas tewas 1-3 kepada Vietnam pada aksi yang berlangsung di Stadium Thien Truong, Nam Dinh sebentar tadi.
Skuad kendalian Peter Cklamovski itu memulakan aksi dengan cukup meyakinkan apabila mendapat peluang terbaik untuk mendapatkan jaringan seawal minit kedua.
Namun, percubaan ‘placing’ Dion Cools dari luar kawasan penalti tuan rumah sedikit tersasar di sebelah kiri gawang Vietnam meskipun penjaga gol, Nguyen Filip sudah tertewas.
Penyokong Vietnam melonjak kegembiraan berselang empat minit kemudian selepas ketua pasukan, Do Duy Manh menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru diambil Truong Tien Anh.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Malaysia memperkemaskan aksi dan mengancam kubu Vietnam menerusi Faisal Halim pada minit ke-10. Namun, percubaan Faisal setelah menerima hantaran lolos Paulo Josue hanya meniti dihadapan pintu gol Vietnam.
Percubaan leret dari luar kawasan penalti oleh Stuart Wilkin selepas itu juga mudah ditangkap kemas Filip untuk menyelamatkan keadaan.
Vietnam yang lebih menguasai permainan hampir menambah jaringan kedua pada minit ke-24, tetapi rembatan jarak jauh menerusi kaki kiri oleh Nguyen Hoang Duc singgah di tiang gol.
Memasuki minit ke-51, Nguyen Xuan Son menjadikan kedudukan 2-0 selepas penyerang naturalisasi itu menanduk masuk bola setelah menerima umpanan lintang Do Hoang Hen.
Tidak cukup dengan itu, Xuan Son sekali lagi membuktikan kemampuannya dengan tandukan pada minit ke-59 membolehkan jaringan kedua peribadinya terhasil pada perlawanan ini.
Jaringan saguhati kem Malaysia hadir pada minit ke-77 apabila Endrick Dos Santos menyempurnakan sepakan penalti untuk aksi berkesudahan 3-1 memihak Vietnam.