Malaysia meneruskan rentak cemerlang dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 selepas menewaskan Laos 5-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
Kemenangan tersebut menyaksikan skuad negara terus berada di tangga teratas kumpulan F dengan 12 mata hasil kemenangan bersih pada empat perlawanan.
Skrip yang sama berulang seperti aksi di Vientiane apabila anak buah Peter Cklamovski mendapatkan kesemua jaringan pada separuh masa kedua.
Lebih mengejutkan buat seketika apabila skuad negara tersentak pada minit ke-20 selepas usaha Shahrul Mohd Saad untuk menghalang percubaan Chanthavixay Khounthoumphone dari luar kawasan penalti tertampan ke dalam pintu gol sendiri.
Tersentak dengan jaringan tersebut, kem negara tampil dengan lebih baik untuk mengawal permainan dan mengasak kubu Laos tetapi penjaga gol muda, Kop Lokphathip kental menghalang gawangnya daripada dibolosi pada babak pertama.
Paling cemerlang apabila Lokphathip menafikan tandukan jarak dekat oleh La’vere Corbin-Ong untuk pasukan pelawat melangkah keluar untuk rehat separuh masa dengan kelebihan satu gol.
Malaysia Mengganas Di Babak Kedua
Bagaikan mendapat tonik berguna pada waktu rehat, Malaysia kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-59 menerusi sepakan percuma Faisal Halim yang terus menerjah gawang lawan.
Gol kedua skuad negara pula hadir pada minit ke-65 setelah ‘turning’ baik dilakukan Romel Morales disudahkannya dengan percubaan rendah kaki kiri untuk menewaskan Lokphathip.
Morales menambah jaringan kedua peribadi berselang lima minit kemudian hasil tolakan mudah selepas beliau tidak dikawal pertahanan Laos ketika situasi sepakan penjuru bagi menjadikan kedudukan 3-1 buat Malaysia
Salah faham antara Lokphathip dan Khammanh Thapaseut dalam kawasan sendiri menyaksikan pertahanan berusia 17 tahun itu tertanduk bola ke gawangnya sendiri pada minit ke-79.
Tidak sampai seminit dibawa masuk, Paulo Josue menggamatkan Stadium Nasional Bukit Jalil dengan jaringan kelima yang dilakarkannya pada minit ke-82.