Disebalik kemenangan dramatik 4-3 Harimau Malaya ke atas Kyrgyzstan pada aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 semalam, nama Arif Aiman menjadi bualan peminat bola sepak tempatan selepas tamat perlawanan.

Ini kerana tonggak serangan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu terlibat dalam kebangkitan Harimau Malaya di separuh masa kedua apabila menyumbang 1 gol serta dua bantuan gol sehingga memastikan 3 mata menjadi milik negara.

Baca Juga:

Walaupun Dion Cools yang telah menjaringkan dua gol dinobatkan sebagai ‘Man Of The Match’ namun para peminat bola sepak tanah air sepakat memilih Arif Aiman sebagai pemain terbaik dalam perlawanan itu.

Paling menjadi buah mulut peminat ialah gerakan menarik yang dilakukan oleh Arif Aiman ketika minit akhir perlawanan sebelum lorongan bolanya disudahkan oleh Faisal Halim untuk gol keempat negara.

Para peminat bola sepak tempatan juga setuju bahawa Arif Aiman yang kini berusia 21 tahun adalah bakat muda luar biasa yang dimiliki oleh negara ketika ini dan mereka berharap lebih ramai lagi pemain sepertinya dapat dilahirkan.

Mengulas mengenai perlawanan semalam, Arif bersyukur dapat membantu pasukan mencatat kemenangan selepas ketinggalan 1-3.

“Kami bolos satu lagi gol pada babak kedua tetapi tidak ada sebab untuk kami mengalah dan buat yang terbaik untuk dapatkan lagi tiga gol untuk mencipta kemenangan kerana kita memang wajib menang perlawanan pertama kelayakan ini sebab ianya sangat penting untuk dapat tiga mata,” katanya.

Arif Aiman merupakan produk Program Pembangunan Bola Sepak Negara dari 2015 hingga 2017 dan kemudiannya menyertai Akademi JDT.

Dia bermain di semua peringkat akademi, termasuk JDT IV, JDT III, JDT II sehingga menjadi pemain tetap untuk pasukan utama pada musim 2021.