Trend pemakaian pakaian bundle bukanlah perkara yang asing dalam kalangan masyarakat kita. Malah rata-rata anak muda masa kini, lebih memilih untuk membeli pakaian bundle kerana pakaian ini boleh dikatakan sesuatu yang ‘vintage’ dan ‘rare’.
Biarpun ia pakaian terpakai, namun kebanyakan baju yang dijual kebiasaannya masih berkeadaan baik, berjenama dan diimport dari luar negara. Harga jualan pakaian bundle juga selalunya sangat murah bahkan ada kedai yang menawarkan pakej 3 helai untuk RM10.
Namun tidak semua pakaian bundle murah malahan ada yang mencecah puluhan ribu ringgit. Terbaharu, seorang peniaga bundle di Pasir Mas, Kelantan dikenali sebagai Mohd Suhairi Mat Daud, 40, dikatakan berjaya menjual sehelai baju T lusuh Geisha Official keluaran jenama Nike pada tanda harga RM37,500 menerusi jualan lelongan bidaan di Facebook ‘live‘.
Mohd Suhairi atau disapa juga sebagai Mat Yie Tok Ube berkata, baju ‘rare‘ yang berusia hampir 40 tahun tersebut telah dibeli oleh seorang pengumpul pakaian ‘vintage’ dari Kuala Lumpur.
“Syukur Alhamdulillah rezeki itu tak salah alamat, terima kasih kepada Otai Lee (pembida) kerana sanggup membida pada harga yang tertinggi bagi pembelian baju ini dan ini merupakan rekod jualan tertinggi yang pernah saya terima,” jelasnya kepada pemberita Sinar Harian di Kampumg Tok Uban hari ini.
Walaupun bajunya lusuh ibarat sesuai dijadikan sehelai ‘kain buruk’ oleh orang ramai, namun tidak bagi mereka yang peminat pakaian vintage. Bagi mereka, pakaian ini dilihat sebagai sesuatu yang bernilai tinggi biarpun kualitinya tidak secantik pakaian yang baharu.
Mat Yie juga menjelaskan bahawa baju T tersebut merupakan keluaran edisi terhad dan hanya dipasarkan kurang daripada 10 unit di negara ini. Maka tidak hairan, keluaran unitnya yang terhad menyebabkan baju tersebut boleh dijual dengan harga yang mencecah puluhan ribu ringgit.
“Saya sudah sedekad menjalankan perniagaan pakaian bundle vintage ini. Hari ini dapat dilihat bahawa industri ini semakin berkembang dan ramai yang sudah ‘celik’ untuk menghargai ‘nilai’ sentimental pada pakaian vintage.
“Para pelanggan juga tidak seharusnya berasa risau jika berlaku kerosakan atau kecurian barang vintage yang dibeli kerana kesemua barang tersebut akan saya hantar sendiri ke depan pintu rumah mereka,” katanya lagi.
Bagaikan ‘durian runtuh’, siapa sangka baju T yang dikatakan sesuai dijadikan kain buruk mampu membawa habuan lumayan kepada pemiliknya. Jika anda diberikan peluang sekali untuk membida baju T berjenama Nike ini, sangup atau tidak anda meletakkan harga yang lebih tinggi daripada harga jualan ini?
Baca lagi perkongsian daripada kami mengenai kasut jenama Vans yang dihasilkan dengan kemasan fabrik lusuh menerusi pautan di bawah.
Vans Hasilkan Koleksi Baharu Dengan Kesan Lusuh Seperti Kasut ‘Bundle’
Diganggu Setiap Malam, Gadis Kongsi Rakan ‘Didatangi’ Pemilik Asal Selepas Beli Baju Bundle
Bermula Dengan Modal RM100, Penjual ‘Bundle’ Berjaya Beli Rumah Buat Keluarga Di Usia 20 Tahun