Kehilangan ahli keluarga pastinya sesuatu yang merisaukan. Tambah-tambah apabila ia memakan berhari-hari dengan pelbagai persoalan yang tumbuh. Otak ini akan berlegar dengan pelbagai persoalan, sehingga membuatkan kita terdesak untuk melakukan apa sahaja demi membawa ahli keluarga kita pulang.

Situasi di atas mungkin apa yang sedang dihadapi oleh seorang rakyat Malaysia yang menawarkan ganjaran sehingga RM50,000 kepada mereka yang berjaya mencari adiknya yang hilang. Ganjaran ini ditawarkan di laman TikTok peribadi miliknya yang kini sudah ditonton oleh beribu pengguna maya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Dalam video yang dikongsi Qusyairi di akaun TikTok miliknya, dia menyatakan adiknya, Muhamad Akmal Hakimi Ishak telah hilang di Mersing, Johor sejak 1 Februari lalu. Dia berkata bahawa adiknya tidak pulang ke rumah selepas mendaki bukit seorang diri di Pulau Mawar, Mersing dan keluarganya telah membuat laporan polis mengenai kejadian ini.

Bercakap kepada media tempatan, Qusyairi berkata ini bukan kali pertama adiknya mendaki seorang diri dan mereka tidak akan putus asa serta terus berdoa agar adiknya pulang secepat mungkin.

Tambah beliau, walaupun SAR dihentikan pada 7 Februari, pencarian diteruskan bersama NGO, penduduk kampung dan imam masjid.

“Ada dunia mistik dan ghaib. Tetapi saya dan keluarga tidak pedulikan sangat, orang lain bebas untuk membuat spekulasi apa sahaja yang mereka mahukan. Dan akhirnya, hanya Tuhan yang tahu kebenarannya.”

Akmal kali terakhir dilihat memakai jaket kuning, kasut kelabu, dan beg galas hitam dengan logo Jeep pada hari kehilangannya. Motosikal Akmal ditemui di Pulau Mawar sekitar jam 12 tengah hari pada 3 Februari.

Pada 8 Februari lalu, pihak polis telah menghentikan usaha mencari dan menyelamat (SAR) penuntut Akmal Hakimi, yang juga seorang penuntut UniKL.

Menurut Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah, SAR berkenaan dihentikan setelah mendapati tiada sebarang kesan atau jejak ditemui di sekitar kawasan pencarian.

“Sepanjang lima hari tempoh pencarian, pelbagai kaedah telah digunakan melibatkan pencarian di darat, laut termasuk di sungai. Kita juga menggunakan dron bagi tujuan mengesan mangsa tetapi sehingga petang semalam (Rabu) tiada sebarang kesan ditemui di lokasi pencarian. Jadi, atas sebab tersebut, kita putuskan SAR ini dihentikan sehingga ada maklumat terbaru diterima,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.