Seorang lagi pemain yang dikhabarkan mempunyai kaitan dengan Malaysia iaitu Iggy Houben menafikan beliau memiliki sebarang pertalian dengan negara ini.

Penafian ini dilakukan oleh ibunya di laman media sosial Facebook yang mana beliau menegaskan keluarganya 100% berasal dari wilayah Limburg.

Baca Juga:

Ini sekaligus menafikan pendedahan yang dilakukan oleh akaun media sosial, FrFutureTalents mengatakan Iggy yang pernah beraksi bersama skuad kebangsaan Belanda Bawah 19 Tahun (B-19) mempunyai darah pertalian Malaysia menerusi neneknya yang berasal dari Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Iggy Houben dicanang sebagai salah seorang pemain muda yang menurut FrFutureTalents bersedia untuk menyarung jersi skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa.

Sebelum ini, ketua pasukan kelab Liga Kejuaraan England, Burnley iaitu Josh Brownhill menafikan beliau mempunyai pertalian darah dengan Malaysia.

Josh berkata demikian menerusi laman media sosial Instagram Story miliknya yang mana pemain itu menegaskan beliau tulen lahir di England dan tiada sebarang kaitan dengan Malaysia.

“Saya hanya mahu membahas mengenai khabar angin yang sedang beredar ketika ini. Malangnya status kewarganegaraan saya hanyalah England dan bukan Malaysia seperti yang orang lain anggap.

“Saya tak pasti bagaimana perkara ini bermula dan hanya mahu menjernihkan keadaan. Tetapi saya mahu mengucapkan terima kasih di atas sokongan yang diberikan,” katanya.

Josh Brownhill mengeluarkan kenyataan selepas mendapat nasihat dari pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Duli Yang Amat Mulia, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor.

Tunku Mahkota Ismail menasihati Josh agar beliau mengeluarkan kenyataan yang mana pemain itu tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan Malaysia kerana beberapa pihak yang terlalu taksub dengan pemain itu.

Menerusi laman media sosial X miliknya, Tunku Mahkota Ismail menegaskan ada pemain yang tidak tahu mengenai Malaysia, bahkan ada yang menafikan mereka mempunyai pertalian dengan negara ini.

“Yang ada tu apabila ditanya, ada yang
tak tahu pun Malaysia dekat mana. Exact
words was “I’m not Malaysian, and where is Malaysia anyways.” Kami dah buat research dan approach. Tetapi scouting akan tetap diteruskan dengan lebih luas lagi,” katanya.