Ketika pekerja di dunia Barat mula diselubungi kebimbangan terhadap ancaman kecerdasan buatan (AI) yang bakal merampas pekerjaan, senario yang berbeza sedang berlaku di China di mana pekerja mula memenangi pertempuran undang-undang yang sengit menentang automasi AI.

Menurut laporan agensi berita kerajaan yang dipetik oleh Futurism, Xinhua, sebuah mahkamah di China telah mengeluarkan keputusan penting yang melarang syarikat daripada menggunakan AI sebagai alasan mutlak untuk memecat pekerja.

Insiden ini melibatkan seorang penyelia jaminan kualiti yang dikenali sebagai Zhou. Beliau telah diambil bekerja pada tahun 2022 dengan tanggungjawab khusus untuk memantau dan menyelia hasil kerja AI di sebuah syarikat teknologi.

Menggantikan posisi pekerjaan dengan AI

Konflik bermula pada tahun 2025 apabila majikannya cuba menggantikan kedudukan Zhou dengan teknologi model bahasa besar (LLM).

Susulan itu, syarikat telah menawarkannya penurunan pangkat yang turut disusuli dengan pemotongan gaji yang drastik sebanyak 40 peratus.

Seperti yang dijangka, Zhou dengan tegas menolak tawaran tidak munasabah tersebut. Penolakan itu menyebabkan beliau dipecat dan ditawarkan pakej pampasan (severance) bernilai sekitar $45,000 bersamaan nilai tukaran wang semasa RM178,020.

Pampasan terlalu rendah

Berang dengan tawaran pampasan yang dianggap terlalu rendah, Zhou mengambil langkah berani dengan mencabar pemecatan tersebut melalui panel timbang tara kerajaan. Selepas panel memihak kepada Zhou, syarikat tersebut masih tidak berpuas hati dan memfailkan saman di mahkamah rendah namun tewas.

Tidak terhenti di situ, syarikat tersebut meneruskan rayuan ke Mahkamah Rakyat Perantaraan Hangzhou, namun mahkamah tersebut mengekalkan keputusan awal.

AI bukan tiket mudah untuk batalkan kontrak

Mahkamah menegaskan bahawa tindakan membawa masuk teknologi AI ke dalam syarikat bukanlah satu tiket mudah untuk mula membatalkan kontrak pekerjaan sesuka hati.

Pihak mahkamah memberikan justifikasi yang cukup jelas: “Alasan penamatan kerja yang diberikan oleh syarikat tidak jatuh di bawah keadaan negatif seperti pengecilan operasi perniagaan atau kesukaran operasi, dan ia juga tidak memenuhi syarat undang-undang yang menjadikan kontrak pekerjaan ‘mustahil untuk diteruskan’.”

Menyokong ketegasan ini, Wang Xuyang, seorang peguam dari firma guaman Zhejiang Xingjing, turut menegaskan, “Kemajuan teknologi mungkin tidak dapat dihalang, tetapi ia sama sekali tidak boleh wujud di luar kerangka undang-undang”.

Walaupun sistem perundangan di China mengamalkan sistem undang-undang sivil (di mana tiada prinsip duluan atau stare decisis yang mewajibkan mahkamah mengikuti kes mahkamah lain seperti di AS dan UK), kemenangan Zhou ini dilihat sebagai satu penanda aras yang sangat positif.

Ini cukup memberikan isyarat jelas bahawa badan kehakiman dan penggubal undang-undang di China mungkin sedang bersiap sedia untuk melindungi pekerja daripada ancaman automasi AI, di kala tenaga kerja di kebanyakan negara Barat masih terpaksa mempertahankan nasib mereka sendirian.

Sumber