Selepas hampir tiga bulan menjadi mangsa simbahan asid, Faisal Halim akhirnya berada dalam skuad Selangor FC buat kali pertama musim ini.

Pemain berusia 26 tahun itu diletakkan dalam senarai pemain simpanan Selangor pada aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Terengganu FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, semalam.

Baca Juga:

Walaupun tidak beraksi sepanjang perlawanan itu namun kehadirannya seolah-olah memberi aura dan semangat tambahan yang menyaksikan Selangor mencatat kemenangan 4-1 sekaligus mara ke final Piala FA dengan aggregat 6-4.

Kemunculan Faisal Halim di atas padang ketika sesi pemanas badan telah menerima sorakan dan tepukan gemuruh ribuan penonton yang membanjiri Stadium MBPJ.

Faisal yang lebih mesra disapa Mickey turut memakai topeng muka berwarna hitam dipercayai bagi melindungi bekas luka simbahan asid yang dalam proses untuk sembuh.

Pemain yang memenangi anugerah gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar  itu mengakui terkejut berada dalam senarai pemain skuad Selangor sehari sebelum hari perlawanan.

“Semalam baru dapat tahu. Apa yang saya boleh bantu ialah dengan semangat sahaja,” katanya kepada pihak media selepas tamat perlawanan.

Kemunculan beliau turut menjadi bualan peminat bola sepak asia tenggara di media sosial yang kagum dengan semangatnya selepas menghadapi pelbagai ujian.

Kisah Faisal Halim sangat luar biasa kerana beliau mengalami lecur sehingga tahap empat selepas disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali.

Bekas pemain Sri Pahang dan Terengganu itu telah menjalani empat pembedahan untuk merawat luka kelecurannya itu sebelum dibenarkan keluar dari hospital pada 25 Mei lalu.

Namun proses pemulihannya menunjukkan perkembangan positif dan tidak lama lagi peminat akan menyaksikan kelibatnya di atas padang bergantung pada tahap kecergasan.