Tahun 2023 baru sahaja masuk hari ketiga, dunia sukan permotoran dikejutkan dengan satu khabar dukacita apabila pemandu rali, RX, Gymkhana dan Gymkhana GRID profesional, Ken Block telah meninggal dunia.

Berita tersebut diumumkan melalui Instagram @thehoonigans, kumpulan yang diasaskan bersama oleh mendiang. Dalam hantaran Instagram itu difahamkan Ken Block meninggal dunia disebabkan kemalangan kereta luncur salji (snowmobile) di Utah.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Menurut Facebook Wasatch Country Sheriff’s Office, pihaknya menerima panggilan 911 kira-kira pukul 2.00 petang yang melaporkan kemalangan kereta luncur salji di kawasan Mill Hollow.

Pasukan Mencari dan Menyelamat, bersama-sama dengan penguatkuasaan undang-undang dari Pejabat Syerif Daerah Wasatch, Taman Negeri Utah dan Perkhidmatan Hutan A.S. segera menghantar bantuan.

Ken Block, berusia 55 tahun dari Park City, Utah menunggang kereta luncur salji secara berkumpulan bagaimanapun didapati mangsa keseorangan semasa kejadian itu berlaku.

Beliau melalui kawasan cerun curam, lalu kereta luncur salji yang dinaikinya terjatuh dan terbalik lalu menghempap dirinya. Ken Block disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan yang dialami dalam kemalangan itu.

Pejabat Pemeriksa Perubatan Negeri akan menentukan punca rasmi kematian dalam masa terdekat.

https://www.instagram.com/p/Cm74ZDVL_PS/

Ken Block merupakan seorang pemandu rali profesional Amerika dengan Hoonigan Racing Division, dahulunya dikenali sebagai Monster World Rally Team.

Block juga merupakan salah seorang pengasas bersama jenama kasut terkenal DC Shoes dan telah bertanding dalam banyak acara sukan aksi, termasuk papan selaju, papan salji, serta motocross.

Selepas menjual pemilikan DC Shoes, Block mengalihkan tumpuan perniagaannya kepada Hoonigan Industries, jenama pakaian untuk peminat automotif. Beliau adalah pemilik bersama dan ‘Head Hoonigan In Charge’ (HHIC) di syarikat itu sebelum kematiannya.

Terima kasih Ken Block kerana berani menongkah arus sukan permotoran dan memberi inspirasi kepada orang ramai sejak tahun 2005 sehinggalah ke hari ini.