Semalam dilaporkan bahawa View Point Wang Kelian, Perlis mengenakan caj kamera kepada pengunjung. Hal terbabit telah mencetuskan pelbagai persoalan netizen.

Menjengah ke media sosial, ramai netizen berasa tidak puas hati apabila caj tersebut dikenakan dan ‘turn off’ mahu berkunjung ke sana.

Baca Juga:

Menurut laporan, kerajaan Perlis menjelaskan bahawa caj kamera yang dikenakan kepada orang ramai yang melawat View Point Wang Kelian hanya tertakluk untuk tujuan penggambaran komersil sahaja.

“Bawa bertenang semua, fi fotografi yang dikenakan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis adalah bertujuan untuk penggambaran komersil saja yang menggunakan kamera jenis DSLR dan seumpamanya.

“Selain itu, jika hanya sekadar untuk tujuan peribadi, hobi atau untuk dimuat naik di media sosial, ia tidak dikenakan caj,” kata Exco Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Perlis, Wan Badariah Wan Saad.

Tambahnya, kadar bayaran yang dikenakan itu sebenarnya sudah termaktub dalam peraturan Kaedah-Kaedah Hutan Negeri Perlis (Pindaan) 2019 serta sudah dikuatkuasa sejak 2020.

Sekadar makluman, pengunjung dikenakan bayaran masuk ke View Point Wang Kelian sebanyak RM2 sahaja dan difahamkan kesemua kutipan caj itu akan digunakan semula untuk aktiviti pembangunan dan penyelenggaraan kawasan eko-pelancongan di bawah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.