Tugas sebagai amil zakat sering kali dipenuhi dengan pelbagai kisah suka dan duka.Niat utama sentiasa terarah untuk membantu golongan mustahiq yang memerlukan pembelaan.
Namun, satu perkongsian daripada Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor baru-baru ini telah membuka mata ramai pihak bahawa tidak semua misi bantuan berakhir dengan senyuman dan tangisan kesyukuran, malah ada kalanya ia terselit sebuah kejutan yang langsung tidak diduga.
Kisah bermula apabila SSU Zakat Selangor menerima satu maklumat yang menyayat hati daripada Pusat Perlindungan Mualaf, Baitul Salam.
Maklumat tersebut mendedahkan tentang kehidupan seorang wanita saudara baharu yang didakwa hidup dalam keadaan yang sangat daif. Berpandukan beberapa keping gambar aduan, pihak SSU berjaya menjejaki lokasi wanita tersebut yang rupa-rupanya berada jauh di pelosok sebuah kebun kelapa sawit.

Apa yang lebih membimbangkan, maklumat awal mendapati wanita tersebut tinggal di dalam sebuah khemah usang tanpa sebarang kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik, serta menetap bersama beberapa individu misteri yang tiada pertalian darah dengannya.
Didorong oleh rasa tanggungjawab dan sifat empati yang tinggi, satu pasukan operasi khas terus digerakkan sejurus selepas selesai solat Isyak.
Misi malam itu turut mendapat kerjasama padu daripada unit Operasi Agihan Daerah Kuala Langat, jawatankuasa masjid berhampiran, serta wakil penduduk kampung.
Objektif mereka hanya satu iaitu untuk menyantuni golongan ini, menyelami masalah sebenar yang dihadapi, dan membawa sinar harapan kepada wanita tersebut.

Namun begitu, sebaik sahaja pasukan kebajikan ini menjejakkan kaki ke lokasi yang dituju, satu insiden yang tidak dijangka telah berlaku.
Alangkah terkejutnya mereka apabila melihat kesemua penghuni khemah tersebut tiba-tiba bertempiaran lari menyelamatkan diri dan bersembunyi di sebalik kegelapan pekat ladang kelapa sawit itu. Suasana yang sepatutnya diisi dengan pertemuan harmoni bertukar menjadi tegang.
Pasukan SSU dan wakil kampung cuba memujuk mereka selama lebih 30 minit agar keluar dan memberikan kerjasama, namun usaha tersebut sekadar menemukan jalan buntu.
Keengganan mereka untuk dibantu mencetuskan tanda tanya, lantas mendorong pasukan operasi untuk melakukan pemeriksaan ringkas di sekitar kawasan khemah tersebut. Di sinilah bermulanya sebuah plot twist yang sama sekali mengubah hala tuju misi kemanusiaan ini. Pasukan SSU telah menemui beberapa barangan terlarang di kawasan tempat tinggal mereka. Menyedari penemuan mengejutkan itu sudah melangkaui bidang kuasa mereka sebagai agensi yang menawarkan bantuan kebajikan, operasi tersebut terpaksa ditamatkan serta-merta.
Tanpa melengahkan masa, pasukan SSU terus bergegas ke balai polis yang berhampiran untuk membuat laporan dan menyerahkan kes ini sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
Susulan daripada laporan tersebut, sepasukan anggota polis bahagian narkotik telah tiba di lokasi kejadian dan mengesahkan bahawa kesemua individu yang bersembunyi itu akhirnya berjaya ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya.
Kisah ini menjadi satu peringatan dan refleksi betapa besarnya cabaran yang harus ditempuhi oleh para amil zakat di lapangan. Ini membuktikan bahawa bukan semua masalah asnaf dapat diselesaikan dengan sekadar menghulurkan bantuan kewangan.
Terdapat keadaan tertentu yang menuntut campur tangan tegas pihak berkuasa demi membendung jenayah daripada terus berleluasa.
Pada masa yang sama, langkah berhati-hati ini amat penting bagi memastikan wang zakat yang diamanahkan oleh umat Islam sentiasa terpelihara dan hanya disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak menerimanya.