Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat aduan rasmi kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berhubung keputusan pengadil yang meragukan pada aksi pusingan 16 Kejohanan Malaysia Masters 2025 kelmarin.

Beberapa keputusan pengadil menjadi isu kontroversi ketika perlawanan melibatkan pemain muda negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai ketika berhadapan dengan wakil Denmark, Rasmus Kjær-Frederik Søgaard.

Baca Juga:

Keadaan yang membuatkan pasangan negara, barisan jurulatih dan peminat di Axiata Arena, Bukit Jalil naik berang dengan keputusan pengadil bertugas dari Switzerland itu.

BAM Tidak Berdiam Diri

Sehubungan dengan itu, BAM bertindak pantas dalam mengemukakan bantahan terhadap badan induk badminton dunia tersebut.

“Persatuan Badminton Malaysia (BAM) secara rasmi telah mengemukakan aduan kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berhubung beberapa keputusan pengadilan yang dibuat oleh pengadil semasa perlawanan beregu lelaki antara pasangan Malaysia, Aaron Tai-Kang Khai Xing dan pasangan Denmark, Rasmus Kjær-Frederik Søgaard dalam kejohanan #PERODUAMalaysiaMasters2025 yang sedang berlangsung.”

“Tiga keputusan yang dibuat semasa perlawanan—terutamanya pada detik-detik penting—dikatakan telah memberi kesan besar terhadap keputusan dan keadilan perlawanan tersebut.”

“Walaupun kami terus menghormati peranan dan kepentingan pegawai teknikal, adalah penting bagi Persekutuan Badminton Dunia untuk menjalankan semakan menyeluruh terhadap standard pengadilan.”

“Keadilan dan integriti mesti ditegakkan dalam setiap perlawanan. Keputusan yang dibuat oleh pengadil, pada pandangan kami, jelas sekali silap dan telah menafikan peluang pemain kami untuk bersaing secara adil.”

“Pengadilan sebegini bukan sahaja menjejaskan keputusan perlawanan, malah mencemarkan kredibiliti sukan badminton itu sendiri.”

“Aduan rasmi tersebut telah dikemukakan bersama bukti rakaman video serta dokumentasi perlawanan yang terperinci untuk semakan segera pihak BWF.”

“BAM kekal komited dalam menjunjung nilai kesukanan dan profesionalisme, serta menyeru agar BWF mengambil tindakan segera dan telus bagi menangani isu ini dan mengelakkan insiden serupa daripada berulang dalam kejohanan akan datang,” ujar BAM menerusi kenyataan Setiausaha Agung, Dato’ Kenny Goh Chee Keong.

Sumber