Pihak kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk membangunkan aplikasi media sosial khusus untuk rakyat Malaysia, petik The Edge Malaysia.

Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. Menurutnya, beberapa penyedia aplikasi media sosial mengaut keuntungan daripada rakyat Malaysia tetapi gagal memastikan keselamatan pengguna dan tidak mengikut garis panduan yang dikeluarkan kerajaan.

Baca Juga:

“Tahun lalu, dianggarkan Facebook sahaja memperoleh AS$600 juta daripada Malaysia, tetapi apakah yang telah mereka lakukan untuk memastikan keadaan dan penggunaan platform mereka di Malaysia selamat?

“Mereka kurang komitmen, jadi kita perlu mengkaji dan menilai keadaan. Bukan mudah untuk membangunkan platform media sosial kita sendiri, tetapi beberapa negara telah mencubanya. Kami akan menelitinya,” katanya kepada pemberita pada perhimpunan “Himpunan Pembebasan Palestin” di sini pada malam Ahad lalu.

Fahmi berkata beliau juga telah bertemu dengan pengacara selebriti Datuk Aznil Nawawi, yang mengemukakan cadangan itu, berikutan tindakan Meta Platforms Inc yang baru-baru ini memadam siaran media sosial berkaitan Palestin.

Dalam pertemuan itu, beliau berkongsi pandangannya berhubung penggunaan media sosial yang perlu dimaklumkan kepada pengikut Aznil.

“Saya mengingatkannya bahawa kanak-kanak bawah 13 tahun tidak boleh menggunakan media sosial, dan dia bersetuju untuk menyampaikan mesej ini kepada peminatnya,” katanya.

Terdahulu, mulai 1 Januari 2025 nanti platform perkhidmatan media sosial yang memiliki sekurang kurangnya 8 juta pengguna di negara Malaysia, perlu untuk memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengingatkan golongan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka berusia bawah 13 tahun tidak memiliki sebarang akaun media sosial.