Kerajaan Korea Selatan diminta merombak semula sistem dan peraturan pengecualian khidmat ketenteraan untuk attlet yang memenangi pingat di kejohanan beprestij seperti Sukan Asia, Olimpik, Piala Dunia, Piala Asia dan sebagianya.

Kemenangan Korea Selatan dalam acara bola sepak lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bertukar menjadi kontroversi selepas beberapa pemain secara terbuka menyentuh mengenai kegembiraan mereka mengelak khidmat ketenteraan berikutan kemenangan tersebut.

Korea Selatan menewaskan Jepun 1-0 dalam aksi final untuk meraih pingat emas buat kali keempat berturut-turut.

Kejayaan itu memberikan manfaat khas berkaitan khidmat ketenteraan kepada 20 daripada 23 pemain dalam skuad Korea Selatan. Tiga pemain lain sudah terlebih dahulu menjalani khidmat ketenteraan.

Namun, kenyataan beberapa pemain selepas kemenangan itu mengundang kritikan dalam kalangan masyarakat Korea Selatan.

Pemain muda Yang Min-hyeok dilaporkan berkata pingat emas atau trofi bukan perkara utama yang mereka kejar, sebaliknya manfaat daripada kejayaan tersebut yang membolehkan mereka mengelak khidmat ketenteraan biasa yang wajib untuk semua lelaki dewasa Korea Selatan.

Kapten Korea Selatan, Lee Ki-hyuk pula mendedahkan bahawa sebelum kejohanan itu dia hanya mempunyai sembilan hari sebelum perlu mendaftar untuk menjalani khidmat ketenteraan sekiranya Korea Selatan gagal memenangi pingat emas.

Selepas kemenangan, Lee dilihat meraikan kejayaan sambil menyebut bahawa mereka tidak perlu masuk tentera.

Kenyataan tersebut mencetuskan perdebatan mengenai kewajaran sistem yang memberikan manfaat khas kepada atlet berdasarkan pencapaian dalam kejohanan antarabangsa.

Di Korea Selatan, lelaki mempunyai kewajipan menjalani khidmat ketenteraan, manakala atlet yang mendapat manfaat khas masih perlu menjalani latihan ketenteraan asas serta tempoh perkhidmatan dalam bentuk perkhidmatan awam atau khidmat khas.

Di mana tempoh latihannya jauh lebih pendek.

Ahli Parlimen Ahn Cheol-soo antara individu yang mengkritik kenyataan pemain berkenaan dan meminta sistem tersebut dikaji semula.

Beberapa ahli politik lain turut menyuarakan pandangan bahawa sistem yang telah digunakan selama lebih lima dekad itu perlu diperbaharui bagi memastikan ia lebih adil.

Isu berkenaan kini bukan sekadar mengenai kenyataan pemain, sebaliknya sudah berkembang menjadi perdebatan politik mengenai masa depan manfaat khidmat ketenteraan untuk atlet Korea Selatan.

Selain itu kenyataan pemain pemain tersebut juga dianggap cerminan bahawa generasi muda Korea Selatan sebenarnya menganggap khidmat kenteraan sebagai satu ‘hukuman’ atau bebanan untuk mereka.

Bagaimanapun, setakat ini tiada keputusan untuk membatalkan manfaat yang diterima pemain daripada kejayaan di Sukan Asia 2026.