Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexandar Nanta Linggi menyatakan Agensi Pusat sedang memuktamadkan perbincangan dengan pihak Penerima dan Pengurus (R&M) untuk mendapatkan kaedah penyelesaian terbaik bagi menyiapkan baki keseluruhan projek Lebuhraya MEX 2.
Memetik Berita Harian, perbincangan itu membabitkan aspek kos menyiapkan projek, aliran tunai, analisis kajian trafik, kadar tol dan sebagainya bagi memastikan projek berkenaan kekal berdaya maju.
Baca Juga:
- Pengguna Lebuhraya MEX Boleh Bayar Tol Guna Kad Debit, Kredit Mulai Hari Ini

- Tol Persimpangan Bertingkat Seri Kembangan Lebuhraya MEX Percuma Selama Sebulan

- Kesilapan Ejaan Berlaku Semasa Produksi, Papan Tanda Lebuhraya MEX Sudah Diganti

“Projek Lebuhraya MEX 2 ditanggung sepenuhnya pemaju atau syarikat konsesi secara penswastaan dengan kaedah Bina-Kendali-Pindah (BOT).
“Justeru, sebarang maklumat berkaitan kemajuan projek, termasuk tuntutan kemajuan disemak dan disahkan pihak konsesi bersama juru perunding pengawasan (SC) dan juru perunding bebas (ICE) dikemukakan terus kepada pemegang Sukuk.
“Segala obligasi konsesi sudah diserahkan kepada pihak R&M yang dilantik oleh pihak pemegang Sukuk bagi menyelesaikan isu kewangan, seterusnya menyiapkan baki pembinaan projek ini,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai kelewatan berpanjangan dalam Projek MEX-2, serta dakwaan RM416 juta tuntutan palsu oleh pemaju yang akhirnya memberi kesan negatif kepada rakyat dan kerajaan.
Jelas Alexander, isu tuntutan palsu adalah di luar pengetahuan Kementerian Kerja Raya kerana projek berkenaan membabitkan pembiayaan swasta.
“Sebarang kelulusan bayaran pendahuluan atau bayaran kemajuan tidak melalui sebarang proses membabitkan kerajaan,” katanya.