Pengalaman menghantar kenderaan ke pusat servis sepatutnya memberikan rasa tenang dan yakin.
Namun, lain pula jadinya buat seorang pelanggan apabila urusan penyelenggaraan keretanya bertukar menjadi satu kejadian yang menakutkan apabila kenderaan miliknya secara tiba-tiba terbakar sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja.
Menerusi perkongsian di media sosial, kejadian itu berlaku selepas dia menghantar keretanya untuk menjalani servis pertukaran minyak enjin seperti biasa pada sebelah pagi di cawangan TUHU Car Care, MY TUHU Bangi. Selesai urusan di bengkel, dia meneruskan perjalanan untuk berkhidmat di pejabatnya.
Bau Hangit Dan Lampu Amaran Berkelip Di Papan Pemuka
Namun, tidak lama selepas memandu meninggalkan bengkel, suasana di dalam kabin mula bertukar cemas apabila dia menghidu bau sesuatu yang terbakar. Pada masa yang sama, lampu amaran bateri di papan pemuka kenderaan mula berkelip secara tiba-tiba.
Mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena, dia segera membelok dan memberhentikan kenderaannya di tepi jalan. Sebaik sahaja bonet enjin dibuka untuk pemeriksaan, dia dikejutkan dengan kehadiran nyalaan api di ruang enjin.
Sehelai Kain Ditemui Tertinggal Di Bawah Penapis Minyak
Nasib menyebelahinya apabila dia berjaya memadamkan api berkenaan sebelum merebak lebih parah. Setelah keadaan kembali terkawal, dia membuat pemeriksaan lanjut dan mendakwa menemui sehelai kain yang dipercayai tertinggal di bahagian bawah penapis minyak.
Tanpa berlengah, dia terus memandu semula ke cawangan TUHU Bangi untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Setibanya di sana, mekanik yang bertugas mengaku berlaku kecuaian dan mengambil tanggungjawab atas insiden berkenaan.
Namun, situasi menjadi rumit apabila isu pampasan dibangkitkan.
“Bila tanya pasal pampasan, mekanik beritahu dia tak boleh buat apa-apa sebab kos pembaikan kena potong daripada gaji dia sendiri,” dakwa pelanggan tersebut.
Perkara itu menimbulkan tanda tanya besar. Mengapa beban kewangan akibat kecuaian perkhidmatan dilepaskan begitu sahaja kepada mekanik secara individu, bukannya ditangani mengikut prosedur operasi piawai atau perlindungan insurans rasmi pihak syarikat?
Tawaran Kereta Ganti Dan Isu Kos Bahan Api
Kesan daripada insiden itu, pelanggan berkenaan berdepan masalah pergerakan harian memandangkan keretanya dijangka terpaksa berada di bengkel selama kira-kira seminggu. Pihak TUHU ada menawarkan sebuah kenderaan ganti jenis Ford Ranger diesel.
Walau bagaimanapun, tawaran itu datang dengan beban baharu apabila pelanggan dimaklumkan bahawa dia perlu menanggung sendiri kos bahan api diesel pada kadar kira-kira RM5 seliter.
Bagi seorang graduan baharu yang baru sahaja melangkah ke alam pekerjaan, pengeluaran wang tambahan untuk pengangkutan seperti Grab, kereta sewa atau bahan api diesel disifatkan tidak adil. Katanya, sebarang kos sampingan sepatutnya ditanggung sepenuhnya oleh pihak yang melakukan kecuaian.
Sukar Mendapat Pengesahan Pihak Pengurusan Atasan
Urusan menyelesaikan isu ini turut berdepan masalah komunikasi apabila panggilannya kepada pengurus cawangan tidak dijawab. Dia kemudian menghubungi khidmat pelanggan TUHU menerusi WhatsApp sebelum dimaklumkan bahawa penyelia cawangan akan membantunya.
Walaupun dia telah meluangkan masa kira-kira dua jam berurusan dengan penyelia di premis berkenaan, isu tersebut masih belum menemui titik noktah.
“Penyelia cuba bantu, tapi dia tak ada kuasa untuk buat keputusan akhir. Dia still kena hubungi pengurus dan pihak lain untuk dapatkan kelulusan,” jelas pelanggan itu yang berharap dapat berhubung secara terus dengan individu yang mempunyai kuasa membuat keputusan.
Isu Keselamatan Nyawa Yang Tidak Boleh Dipandang Ringan
Tegas pelanggan berkenaan, apa yang berlaku bukan sekadar isu rugi wang ringgit atau kerosakan kenderaan, sebaliknya melibatkan risiko keselamatan nyawa yang amat tinggi.
“Bagaimana jika api itu menjadi lebih teruk? Bagaimana jika saya tidak dapat keluar? Bagaimana jika saya cedera parah? Dan bagaimana jika kereta saya musnah sepenuhnya?” luahnya meluahkan rasa kebimbangan.
Sebagai seorang pemuda yang baru mula membina kerjaya, insiden ini bukan sahaja mengganggu urusan harian malah memberi tekanan emosi yang berat.
“Saya amat tertekan. Kereta tiada, dan walaupun saya masih boleh ke tempat kerja, saya kini perlu mengeluarkan lebih banyak wang semata-mata untuk berulang-alik disebabkan kecuaian mereka,” katanya.
Dia berharap pihak TUHU Car Care dapat mengendalikan kes ini dengan lebih profesional dan tidak meletakkan pertanggungjawaban kewangan sepenuhnya kepada mekanik sekiranya syarikat mempunyai perlindungan yang sewajarnya.
“Saya rasa ini bukanlah satu permintaan yang melampau selepas kereta saya secara harfiah terbakar sebaik sahaja keluar dari bengkel mereka,” tegasnya mengakhiri kenyataan.