Pegawai kanan polis, Deputi Superintenden Mohd Nazri Abdul Razak, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun enam bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan menyebabkan kematian tanpa niat terhadap pelajar sekolah menengah, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie.
Kes tersebut pernah menggemparkan Malaysia beberapa tahun lalu.
Menurut laporan Sinar Harian, keputusan itu dibuat di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu selepas pertuduhan membunuh terhadap Mohd Nazri dipinda kepada pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat.
Mohd Nazri, 47, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan tersebut di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh pada akhir kes pendakwaan.
Pegawai kanan polis dipenjara 7 tahun 6 bulan kerana menyebabkan kematian pelajar, bayar pampasan RM50,000 kepada bapa mangsa – Mahkamah Tinggi Ipoh
📸: Zulfadhli Zulkarnain | Jurugambar BERNAMA #digitalbernamatv #penjara #polis #pelajar #mahkamah pic.twitter.com/iL3tYyCY1H
— BERNAMA TV 🇲🇾 (@BernamaTV) October 28, 2026
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu dikira bermula dari tarikh Mohd Nazri ditangkap, iaitu pada 15 Disember 2023.
Selain hukuman penjara, beliau turut diarahkan membayar pampasan sebanyak RM50,000 seperti dilaporkan Sinar Harian.
Kes berkenaan melibatkan kematian Muhammad Zaharif Affendi, 17, yang merupakan pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Ipoh.
Kejadian berlaku pada 15 Disember 2023 berhampiran sekolah berkenaan dan mengundang perhatian ramai selepas insiden itu mencetuskan tuntutan supaya keadilan ditegakkan buat keluarga mangsa.