Ketua pasukan skuad kebangsaan, Dion Cools terpaksa menarik diri bagi menghadapi New Zealand dalam perlawanan persahabatan antarabangsa ekoran masalah peribadi yang dihadapi.

Meskipun turun tanpa salah seorang pemain tonggak, perkara ini tidak menggusarkan ketua jurulatih iaitu Pau Marti dimana beliau yakin pemain lain mampu untuk mengisi kekosongan yang dihadapi.

Baca Juga:

“Kami kena yakin yang kami adalah pasukan kuat. Walaupun hilang seorang pemain, kami masih ada ramai pemain yang mampu galas ditinggalkan oleh Cools.

“Kami mendoakan yang terbaik untuknya dan berharap Dion Cools dapat kembali pada jendela antarabangsa FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabngsa) seterusnya pada bulan depan,” kata Pau Marti dipetik dari laporan Sukan Sinar.

Pau Marti Vicente memanggil 27 pemain ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Ahad, 6 Oktober 2024 bagi menghadapi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang New Zealand di Stadium North Harbour, Auckland pada Isnin, 14 Oktober 2024.

Dalam senarai tersebut, Marti memanggil dua pemain yang beraksi bersama skuad B-19 Tahun negara iaitu penjaga gol, Haziq Aiman Mohd Esa (JDT II) dan Haykal Danish Mohd Haizon (Selangor FC B-23).

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan, Pau Marti telah mengekalkan seramai 23 daripada 26 pemain dari skuad yang menjuarai Pestabola Merdeka 2024 selepas menewaskan Filipina 2-1 di separuh akhir pada 4 September 2024 dan menewaskan Lubnan 1-0 pada final pada 8 September 2024, kedua-dua perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pemain tengah Sabah, Stuart Wilkin yang tidak bersama pasukan ketika Pestabola Merdeka 2024 kembali dipanggil kali ini bersama-sama tiga muka baharu iaitu penjaga gol Selangor FC, Azim Al Amin Kamaruddin.

Skuad Harimau Malaya berlepas terus ke Auckland pada 6 Oktober 2024 untuk menjalani kem latihan pusat di sana selama seminggu bagi menghadapi perlawanan menentang New Zealand pada 14 Oktober 2024 dan kembali ke tanah air, hari berikutnya.