Cristiano Ronaldo mungkin gagal membawa Portugal lebih jauh di Piala Dunia 2026, namun penyingkirannya meninggalkan kesan yang jauh lebih besar daripada sekadar keputusan di atas padang.

Beberapa jam selepas Portugal tersingkir, harga tiket pasaran sekunder bagi aksi suku akhir antara Belgium dan Sepanyol dilaporkan menjunam hampir 60 peratus.

Nilai tiket yang sebelum ini mencecah sekitar AS$2,950 merosot kepada kira-kira AS$1,200.

Ketiadaan Ronaldo memburukkan nilai pasaran tiket

Harus diakui penyingkiran tuan rumah memberikan kesan kepada harga tiket yang menggunakan sistem dynamic pricing.

Ketiadaan dua tarikan terbesar kejohanan menyebabkan permintaan terhadap perlawanan tersebut menurun dengan ketara.

Ketiga tiga pasukan tuan rumah pula sudah tersingkir, terutama sekali AS yang menganjurkan aksi suku akhir sehingga ke final.

Dynamic Pricing: Harga Ditentukan Oleh Permintaan

Piala Dunia 2026 menjadi edisi pertama FIFA menggunakan sistem dynamic ticket pricing secara meluas.

Berbeza dengan harga tetap, sistem ini membolehkan harga tiket berubah mengikut tahap permintaan pasaran.

Konsepnya sama seperti industri penerbangan dan hotel.

Apabila ramai pengguna memasuki laman web untuk membeli tiket atau permintaan meningkat secara mendadak, harga akan naik secara automatik. Sebaliknya, apabila minat menurun, harga turut diselaraskan ke bawah.

Ini bermakna nilai sesuatu perlawanan bukan lagi bergantung kepada status peringkat kalah mati semata-mata, tetapi juga kepada siapa yang masih berada dalam kejohanan.

Cristiano Ronaldo Masih Magnet Terbesar

Fenomena ini sekali lagi membuktikan bahawa Cristiano Ronaldo masih merupakan antara aset komersial paling bernilai dalam sukan dunia.

Walaupun berusia 41 tahun, Ronaldo masih mempunyai ratusan juta peminat di seluruh dunia.

Kehadirannya bukan sekadar meningkatkan jumlah penonton televisyen, malah memberi impak terus kepada jualan tiket, penginapan, pelancongan dan aktiviti ekonomi di bandar tuan rumah.

Sebelum Portugal tersingkir, setiap perlawanan melibatkan Ronaldo menjadi antara ‘tiket’ paling mahal sepanjang kejohanan.

Ramai penyokong sanggup membayar harga premium kerana percaya mereka mungkin sedang menyaksikan penampilan terakhir legenda Portugal itu di pentas Piala Dunia.

Apabila peluang tersebut hilang, permintaan pasaran turut berubah.

Pastinya FIFA ‘gembira’ jika ada nama Ronaldo berada di final. Terutama sekali Ronaldo vs Messi. Kerana ia pasti akan melonjakkan harga tiket ke tahap luar biasa.

Fenomena Yang Pernah Berlaku Sebelum Ini

Kesan ekonomi yang dibawa Ronaldo bukanlah sesuatu yang baharu.

Sepanjang kariernya, perpindahan beliau ke Juventus pada 2018 meningkatkan jualan jersi kelab secara mendadak dan membantu melonjakkan nilai komersial Serie A.

Ketika menyertai Al Nassr pada 2023 pula, liga Arab Saudi menerima lonjakan luar biasa daripada segi hak penyiaran, tajaan serta perhatian media antarabangsa.

Faiq Bolkiah
Sumber Gambar: Reuters

Kini, Piala Dunia 2026 memberikan satu lagi bukti bahawa pengaruh Ronaldo turut mampu mengubah tingkah laku pasaran tiket global.

Bola Sepak Moden Tidak Lagi Hanya Tentang Keputusan

Perkembangan ini menunjukkan bola sepak moden bukan sekadar persaingan di atas padang.

Seorang pemain bertaraf global kini menjadi faktor yang mempengaruhi strategi pemasaran, harga tiket, nilai hak penyiaran dan pulangan ekonomi sesebuah kejohanan.

FIFA pastinya berharap nama-nama besar seperti Lionel Messi serta pasukan popular seperti Argentina, England dan Perancis mampu terus mengekalkan permintaan sehingga tamat kejohanan.

Messi
Kredit Foto: Paul ELLIS / AFP

Namun apa yang berlaku selepas Portugal tersingkir memberikan satu kesimpulan yang sukar dinafikan.

Cristiano Ronaldo bukan sekadar legenda bola sepak. Beliau merupakan jenama global yang masih mempunyai kuasa untuk menggerakkan ekonomi sukan, malah mampu menentukan nilai pasaran sebuah perlawanan Piala Dunia.

FIFA tak rugi, cuma mereka tak mampu memaksimumkan pendapatan mereka tanpa nama Ronaldo di Piala Dunia 2026.