Malaysia dan China kini tampil sebagai ekonomi yang paling berdaya tahan di Asia tatkala pasaran tenaga global berdepan ketidaktentuan yang semakin meruncing susulan konflik berterusan di Asia Barat.

Ketua Ekuiti Asia dan Pengerusi Bersama Strategi Ekuiti Pasaran Membangun Global JP Morgan, Rajiv Batra, dalam satu temu bual bersama CNBC menjelaskan bahawa kebanyakan negara lain di rantau ini dilihat lebih terdedah kepada kesan kejutan tenaga, berbanding Malaysia dan China.

Kelebihan Malaysia: Pengeksport Tenaga & Dasar Berdisiplin

Menurut Rajiv, kekuatan Malaysia didorong oleh statusnya sebagai pengeksport tenaga serta kerangka dasar ekonomi yang sangat berdisiplin. Faktor ini bertindak sebagai perisai pelindung yang kukuh daripada tekanan luaran.

“Defisit fiskal Malaysia dikawal dengan sangat baik menerusi dasar kerajaan, manakala kadar inflasinya juga tidak berada pada paras yang membimbangkan,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, kelebihan-kelebihan ini bukan sahaja mengukuhkan pasaran ekuiti negara, malah turut menyokong kestabilan mata wang Ringgit ketika berdepan pergolakan ekonomi luar.

Kelebihan China: Kebergantungan Import Terhad & Rizab Strategik

Bagi situasi di China pula, Rajiv menekankan bahawa negara itu hanya bergantung kepada import untuk lima peratus (5%) daripada penjanaan elektriknya, manakala bakinya dijana secara domestik. Selain itu, China mempunyai rizab strategik yang besar serta keupayaan untuk memperluaskan penggunaan sumber tenaga alternatif seperti arang batu dan tenaga boleh diperbaharui sekiranya keadaan mendesak.

Risiko dan Prospek Global

Walau bagaimanapun, Rajiv memberi amaran bahawa prospek ekonomi global secara keseluruhannya masih tidak menentu. Sekiranya ketegangan geopolitik terus mengganggu rantaian bekalan minyak dan gas khususnya akibat kerosakan infrastruktur atau kelewatan logistik untuk pertumbuhan ekonomi global pasti akan terjejas.

Dalam pasaran ekuiti, kesan awal dijangka akan melanda sektor-sektor yang sensitif kepada harga tenaga, seperti barangan pengguna, utiliti, dan industri hiliran.

Namun, sekiranya krisis ini berlarutan, kesannya boleh merebak dengan lebih meluas ke sektor kewangan, teknologi, telekomunikasi, dan juga penjagaan kesihatan.

Walaupun wujud ancaman risiko tersebut, Rajiv menyatakan bahawa pasaran kewangan pada ketika ini masih belum mengambil kira senario terburuk sepenuhnya.

Sebaliknya, pelabur masih menjangkakan pasaran hanya akan melalui fasa “bertahan dan melepasi krisis secara berperingkat” (*muddle-through scenario*).