Penjaga gol Kuala Lumpur City, Kevin Ray Mendoza dikaitkan dengan perpindahan ke salah sebuah kelab yang sedang bersaing di Liga 1 Indonesia musim ini.
Perkara ini dikongsikan oleh wartawan The Star, T.Avineshwaran dimana kelab yang dimaksudkan ialah Persib Bandung yang mana pasukan itu ketika ini dibimbing oleh bekas pengendali KL City iaitu Bojan Hodak.
Baca Juga:
- JDT Muncul Sebagai Kelab Nombor Satu Di Asean
- Dimitar Berbatov Kritik Anthony Kerana Lakukan Trik Tidak Bermanfaat
- TRW Kelantan Bakal Berwajah Baharu Pada Musim 2024/25
It's learnt that Kuala Lumpur goalkeeper Kevin Ray Mendoza is linked to a move to Persib Bandung. pic.twitter.com/oqGjxTiOCV
— T. Avineshwaran (@avineshW90) November 9, 2023
Kelab ibu kota itu ketika ini sedang berdepan dengan isu tunggakan gaji dimana menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) iaitu Khalid Abdul Samad, pasukan itu sedang menghadapi tunggakan gaji selama dua bulan.
Bagi menyelesaikan masalah ini, Khalid Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan, Stanley Bernard telah membuat pinjaman peribadi bernilai ratusan ribu ringgit.
“Saya ambil pinjaman peribadi dalam RM300,000, saya rasa Stanley pun lebih kurang begitu juga. Kita anggap pinjaman yang dilakukan ini sebagai komitmen kami di sini bukan untuk pegang jawatan semata-mata.
“Kita juga ada mendapat tajaan-tajaan tertentu termasuk daripada syarikat yang kecil dengan jumlah RM50,000. Ini sedikit sebanyak dapat menampung urusan pembayaran gaji pemain yang menelan perbelanjaan sehingga RM1.2 juta sebulan,” kata Khalid.
Krisis yang sedang dialami oleh KL City ini memberi laluan kepada pasukan lain untuk memancing pemain bagi meninggalkan pasukan itu dan beraksi bersama pasukan baharu musim hadapan.
Kevin Ray Mendoza merupakan salah satu watak penting bagi skuad The City Boys dimana beliau pernah membantu pasukan itu memenangi Piala Malaysia pada 2021 selain mara ke perlawanan akhir beberapa kejohanan besar dalam dan luar negara.
Musim lalu, KL City mara sehingga ke perlawanan akhir saingan Piala AFC namun mereka terpaksa akur tewas kepada kelab Oman, Al-Seeb dengan keputusan 3-0 pada perlawanan akhir.
Musim ini, Kuala Lumpur melangkah ke perlawanan akhir Piala FA dengan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) namun tewas dengan keputusan 2-0 hasil jaringan dari Hong Wan dan Leandro Velazquez.
Dalam saingan Piala Malaysia 2023, KL City mara sehingga ke peringkat separuh akhir namun tewas kepada Terengganu dengan keputusan agregat 4-2.