Berdasarkan laporan audit yang disediakan oleh Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan pada 2016, KFA didakwa menggunakan kad kredit korporat untuk membayar perkhidmatan hiburan berunsur s*ksual di pusat urut dan premis dewasa lain di Seoul serta beberapa bandar yang menjadi lokasi perlawanan antarabangsa antara Mac 2011 hingga Mac 2012.

KFA didapati telah menghantar pelacur ke beberapa pusat hiburan dan juga premis lain untuk menghiburkan pengadil sebelum bertugas mengendalikan perlawanan melibatkan Korea Selatan di negara itu.

Antara perlawanan tersebut termasuk aksi kelayakan Sukan Olimpik London 2012 dan Piala Dunia Brazil 2014. Korea Selatan kekal tanpa kalah dalam tujuh perlawanan berkenaan dengan rekod lima kemenangan dan dua keputusan seri.

Menurut Yonhap, kira-kira 12 orang pengadil dan penyelaras perlawanan menerima layanan tersebut. Mereka dipercayai berasal dari Jepun, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iran, Bahrain dan Uzbekistan.

Bekas pegawai KFA memberitahu stesen televisyen JTBC bahawa amalan itu dikatakan “biasa berlaku pada ketika itu” dan ada pengadil yang didakwa meminta sendiri untuk dibawa ke premis hiburan dewasa.

Menurut laporan Yonhap, insiden tersebut sebenarnya telah dikesan pada 2016, namun tidak didedahkan kepada umum ketika itu.

Walaupun pusat urut yang menawarkan perkhidmatan seksual dilaporkan agak berleluasa di Korea Selatan, aktiviti pel*curan tetap dilarang di negara tersebut.

Selain itu, peraturan badan bola sepak antarabangsa turut melarang sebarang bentuk pampasan atau layanan kewangan kepada pengadil.

KFA kini berada di bawah tekanan politik yang tinggi. Pada Khamis, pihak berkuasa menyerbu pejabat KFA sebagai sebahagian daripada siasatan berkaitan pelantikan bekas jurulatih skuad kebangsaan lelaki, Hong Myung-bo.

Polis merampas beberapa dokumen yang dipercayai dapat membantu menentukan sama ada berlaku campur tangan tidak wajar atau cubaan menghalang proses pelantikan oleh pihak pengurusan KFA, termasuk bekas presidennya, Chung Mong-gyu.