Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Amin Kamarulzaman atau lebih dikenali sebagai Khairul Aming, tampil memohon maaf secara terbuka kepada para pelanggan berhubung isu kekurangan hadiah percuma (free gift) bagi pembelian produk susu dan beras semasa sesi siaran langsungnya di Sabah baru-baru ini.
Menerusi satu hantaran di platform media sosial Threads, Khairul Aming menjelaskan bahawa insiden tersebut berpunca daripada salah faham dalaman (internal miscommunication) di peringkat pasukan pemenuhan pesanan (fulfillment), sekali gus menyebabkan sebahagian daripada barangan percuma yang dijanjikan tercicir daripada bungkusan pelanggan.
Menurut beliau, perkara itu telah dimaklumkan kepada semua pihak yang terlibat untuk tindakan segera. Pihak berkenaan dijadualkan akan menghubungi kesemua pelanggan yang terjejas dalam minggu ini bagi menguruskan penghantaran semula barangan yang tertinggal tersebut.
View on Threads
Mengulas lanjut mengenai tanggungjawabnya sebagai penjual, Khairul Aming memberi jaminan bahawa beliau tidak akan lepas tangan dalam menangani isu berkenaan.
“Sebagai hos yang menjual, saya tidak akan lepas tangan. Saya akan memastikan kesemua pelanggan mendapat apa yang telah dijanjikan,” tegasnya dalam kenyataan tersebut.
Dutch Lady Turut Tampil Mohon Maaf
Susulan perkembangan itu, pihak jenama tenusu terkemuka, Dutch Lady menerusi akaun rasmi Threads @dutchladymy turut mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada para pelanggan yang berdepan masalah berkaitan pesanan dan hadiah percuma sempena promosi Dutch Lady 11.11 bersama Khairulaming di platform Shopee.
Menurut Dutch Lady, pihaknya amat memahami kekecewaan yang dialami oleh pembeli dan kini sedang giat bekerjasama dengan pihak Shopee bagi menyemak serta menyelesaikan isu berkenaan secepat mungkin.
Sehubungan itu, para pelanggan yang terjejas dinasihatkan untuk menghantar e-mel ke alamat [email protected] dengan menyertakan nombor pesanan (order ID) berserta gambar barangan yang diterima bagi membolehkan proses bantuan lanjut dijalankan.
“Terima kasih atas kesabaran dan sokongan anda terhadap Dutch Lady,” petik hantaran Threads @dutchladymy.