Setakat ini, ramai pembeli rendang nyet yang memuji akan kesedapan produk terbaharu keluaran Khairul Aming tetapi terdapat satu isu yang timbul yang mana didakwa kandungan minyak terlalu banyak.

Jadi, netizen memberi pandangan bahawa jika dapat dikurangkan kuantiti minyak itu pasti rasanya jauh lebih sedap. Namun, adakah perkara ini terlepas pandang oleh KA atau pun ia memang tidak boleh dielakkan?

Khairul Aming langsung memberi penjelasan dalam memberi pemahaman sebab produk Rendang Nyetnya mempunyai cecair minyak yang terlalu banyak seperti yang didakwa oleh ramai orang.

Ini penjelasan yang dikongsikan secara lanjut untuk pelanggannya:-

“Bila kita buka rendang yang dah retort, minyak akan nampak banyak kat dalam kuah rendang. Kenapa terjadi macam ni? Untuk bagi rendang tahan setahun tanpa basi, kita kena seal rendang kat dalam pouch, masuk ke dalam mesin retort, dan masak pada suhu yang tinggi (121°C) selama 1 jam lebih.

“Sepanjang proses ni, rendang kat dalam pouch tu akan duduk diam dan tak disentuh atau dikacau oleh sesiapa, tapi pada masa yang sama dia akan dimasak selama sejam dalam tekanan dan suhu tinggi untuk bunuh kuman.Jadi air, kuah dan minyak rendang akan terpisah mengikut berat masing-masing. Minyak naik ke atas, kuah dan air duduk di bawah. Sebab tu bila kita tuang ke atas pinggan dia nampak “terpisah”.

“Berbeza dengan rendang yang kita makan pagi raya atau kat kedai, minyak tu tak terpisah sangat sebab dia bergaul sebati dengan kuah. Rendang tu sentiasa dikacau sebelum dihidang, dan dia tak lalu proses retort yang tinggi tekanan & suhu sebegini.

“Tapi adakah minyak yang kita nampak tu minyak masak sahaja? Sebenarnya tak. “Minyak” tersebut adalah gabungan minyak masak, lemak santan yang dah pecah minyak, minyak dari kerisik dan lemak ayam yang dah cair. Rendang adalah satu menu tradisi yang kena masak lama, sebab tu lemak-lemak ini semua akan cair lepas kita masak.

“Rasa seperti masin, manis, pedas, berlemak, semua flavour ni ada kat dalam “minyak” itu.
Jadi kalau boleh jangan buang “minyak” tu tau kacau sebati rendang tu bersama dengan “minyak” dia sampai dah cantik, baru boleh makan. Selamat mencubaaa,” tulisnya di platform Threads sebentar tadi.