Pada awal minggu ini influencer terkenal TikTok, Khairul Aming telah memperlihatkan produk terbaharunya, Dendeng Nyet Berapi yang akan mula dijual kepada orang ramai pada 2 Februari, Jumaat, pukul 9 malam menerusi platform TikTok Shop.

Dalam kemas kini video terbaharunya, beliau berkongsi beberapa info mengenai produk keduanya itu; dijual eksklusif di TikTok Shop, berharga RM14.99 setiap satu, dan hanya 80,000 unit akan dijual pada batch pertama ini sebagai jualan pengenalan.

Baca Juga:

“Ini adalah first batch, jadi kena buat dulu satu kuantiti untuk dapatkan feedback daripada semua pelanggan supaya kita apa yang kurang, apa yang perlu kita tambah dekat second production dan jualan seterusnya.

“Sebagai penjual, saya tak boleh syok sendiri, saya kena dengar feedback daripada pelanggan, apa yang kena improve. Barulah kita buat dekat batch kedua dan seterusnya nanti,” kata Khairul Aming.

@khairulaming

Harga dendeng, purchase limit, level kepedasan dan sebab kenapa kita pilih dendeng sebagai produk kedua ada dijelaskan dalam video ni. Jumpa anda jumaat ni! 😄 #MYSuperBrandDayKhairulAming #TikTokShopSuperBrandDayMY

♬ original sound – Khairulaming – Khairulaming

Penjelasan itu dibuat selepas ditanya netizen mengapa kuantiti Dendeng Nyet Berapi diterhadkan walaupun beliau mempunyai ramai peminat di seluruh Malaysia.

Dalam pada itu, Khairul Aming menyatakan hasrat untuk kali ini, mereka cuba menyasarkan menjadi produk pertama tempatan yang mencapai jualan RM1 juta terpantas di TikTok Shop Malaysia.

Menerusi video terbaharu itu lagi, beliau mendedahkan majoriti hasil jualannya datang dari platform TikTok Shop, sebanyak 60%. Manakala baki selebihnya, 40% adalah dari platform lain.

Bagi yang bertanya mengapa Khairul Aming tidak menjual sambal-sambal jenis lain, beliau mahu produk terbaharunya itu boleh dimakan bersama produk pertama, Sambal Nyet Berapi — umpama smartphone perlu ada casing phone.