Pempengaruh tanah air yang terkenal dengan video serta resipi masakan, Khairul Aming dilaporkan menerima surat penghargaan daripada Perdana Menteri New Zealand, Christopher Mark Luxon.

Perkembangan terkini itu disahkan sendiri oleh Khairul Aming dalam satu ciapan di laman X peribadi miliknya sebentar tadi.

Baca Juga:

Khairul Aming mencuri tumpuan pada awal September lalu selepas menerima kunjungan Luxon sebagai tanda penghargaan kerana mempromosikan New Zealand dalam video masakannya.

“Nak ‘share’ dengan ‘you guys’ yang kita baru sahaja terima surat penghargaan rasmi daripada Perdana Menteri New Zealand di Wellington.”

“Doakan agar kami dapat teruskan buat ‘content’ yang harumkan nama Malaysia di mata dunia,” ujar Khairul Aming dalam ciapannya.

Antara intipati surat penghargaan yang dikirimkan Luxon bertarikh 16 September itu adalah berbunyi begini:

Khairul Aming Terima Surat Penghargaan Daripada PM New Zealand
Surat penghargaan yang diterima Khairul Aming. Kredit Foto: X Khairul Aming

“Satu keseronokan dapat bertemu dengan anda – terima kasih banyak atas kelas memasak dan layanan sarapan makanan tempatan semasa kunjungan saya ke Malaysia.”

“Sangat menjadi inspirasi mendengar kisah anda, dari permulaan kecil membuat video memasak semasa pandemik Covid-19 hingga ke usaha anda sekarang, termasuk sambal yang sangat diminati.”

“Setelah menonton petikan perjalanan anda di New Zealand di Instagram, adalah hebat untuk mendengar refleksi anda secara langsung. Industri pelancongan New Zealand sememangnya menghargai usaha anda!”

“Saya yakin ia memerlukan kerja keras dan bakat yang besar untuk membina jenama anda, sambil tetap kekal tulus dan bersemangat mengenai pekerjaan anda.”

“Terima kasih kerana meluangkan masa daripada jadual anda yang sibuk untuk mengajar saya cara membuat roti jala dan cendol, serta untuk menyajikan hidangan tempatan yang begitu lazat.”

“Saya dengar video sarapan kita menarik sebanyak 8 juta tontonan di Instagram dalam beberapa hari – tahniah! Sebagai seseorang yang kadang-kadang mencuba membuat video reels di Instagram, saya tahu itu adalah pencapaian yang luar biasa.”

“Saya mengharapkan yang terbaik untuk anda dan pasukan anda dalam apa jua yang akan datang,” tambah Christopher Mark Luxon lagi.

 

Sumber