Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mengejutkan peminat skuad warga kota apabila meletakkan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) secara serta-merta bermula hari ini.
Peletakan jawatan itu dimaklumkan menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa.
Baca Juga:
- Ini Rahsia Bangsa Cina Simpan Duit Yang Semua Orang Boleh Ikut
- Mengapa Pengguna CIMB Tidak Perlu Panik Dengan Servis DuitNow
- Kad Kredit Bahaya? Mari Ambil Tahu Tentang Kelebihan Dan Keburukannya
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli jawatankuasa, kakitangan dan semua pihak atas sokongan serta kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh saya berkhidmat,” katanya.
Difahamkan perletakan jawatannya mempunyai kaitan isu kewangan apabila terdapat tunggakan gaji melibatkan pemain Kuala Lumpur City (KL City) selama dua bulan pada Oktober dan November 2023.
Malaysia Football League (MFL) sebelum ini telah memberikan tempoh masa terakhir kepada pasukan tersebut untuk menyelesaikan pembayaran tunggakan gaji mereka.
KL City diarahkan untuk membuat pembayaran pertama sebanyak 50 peratus pada atau sebelum 15 Mac 2024 (hari ini) dan penyelesaian penuh pada atau sebelum 29 Mac 2024.
Kegagalan untuk membuat pembayaran seperti tarikh yang ditetapkan itu bakal mengakibatkan kelab itu dikenakan sekatan perpindahan pemain berserta denda atau berdepan hukuman penarikan Lesen Kebangsaan oleh FIB.
Bagaimanapun, Penaung KL City, YB Fahmi Fadzil memberi tanda positif dan sedia membantu menyelesaikan pembayaran pertama tunggakan gaji pemain supaya dapat terus beroperasi dengan baik.
Selain itu, ketua jurulatih KL City, Nenad Bacina turut mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan itu menerusi satu kenyataan di laman instagramnya.
“Ia adalah satu keistimewaan bagi saya apabila dikelilingi oleh rakan dan rakan sekerja yang dikasihi. Dalam kehidupan, perkara yang paling sukar ialah berpisah dengan orang yang dikasihi dalam kerjasama yang berjaya.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak pengurusan, pemain, penolong jurulatih, semua kakitangan dan tentunya semua peminat serta penyokong Kuala Lumpur City FC,” tulisnya.