Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon menegaskan semua pemain sudah bersedia untuk turun menentang Kyrgyzstan dalam aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada esok.

Pan-gon berkata demikian ketika sidang media sebelum perlawanan dimana beliau turut mengakui perlawanan di tempat lawan sentiasa sukar dan pasukan tuan rumah memiliki kualiti tersendiri.

“Kedua-dua pasukan tahu ini merupakan perlawanan penting dalam kempen kelayakan. Pemenang mungkin akan mendapat tiket untuk menjadi antara 18 pasukan terbaik. Bagi Malaysia, kami sedar perlawanan di tempat lawan adalah sukar kerana Kyrgyzstan mempunyai kualiti. Mungkin ada beberapa perkara tidak memihak kami.

“Apa sahaja perkara yang berlaku tidak dapat menghentikan kami kerana kami mempunyai semangat, keinginan untuk berada dalam 18 pasukan terbaik. Kami telah menjalani persiapan yang baik minggu lalu. Saya percaya semua pihak mempunyai keyakinan yang tinggi. Kami tidak sabar untuk menampilkan prestasi terbaik dan memberikan kemenangan kepada rakyat Malaysia,” kata Kim Pan-gon.

Sementara itu, ketua pasukan iaitu Dion Cools turut berpendapat beliau dan rakan sepasukan sudah bersedia untuk memberikan cabaran sengit kepada pasukan tuan rumah dan membawa pulang tiga mata.

Kim Pan-gon
Dion Cools

“Kami berlatih dengan baik sebelum datang ke sini. Saya rasa semua sedar betapa pentingnya perlawanan kali ini. Kita dapat melihat semua pemain bersemangat ketika menjalani sesi latihan.

“Kami sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi Kyrgyzstan. Ini merupakan perlawanan hidup dan mati bagi kami dan sudah pasti kami mencari kemenangan,” kata Cools.

Selepas berdepan Kyrgyzstan, Malaysia akan turun menentang Chinese Taipei di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 11 Jun 2024.

Sementara dua lagi pertembungan lain dalam Kumpulan D menyaksikan Chinese Taipei bertemu Oman di Taipei pada 6 Jun 2024 sebelum Oman menanti kunjungan Republik Kyrgyz di Muscat pada 11 Jun 2024.

Kemenangan amat penting untuk mencerahkan peluang mendapatkan tiket automatik layak ke Piala Asia 2027 serta mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.