Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon hari ini telah mengumumkan senarai 26 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2026 pada bulan Jun ini.
Daripada senarai itu, Pan Gon telah mengekalkan seramai 16 daripada 24 pemain daripada skuad ketika menentang Oman pada 21 dan 26 Mac lalu.
Baca Juga:
- Ini Rahsia Bangsa Cina Simpan Duit Yang Semua Orang Boleh Ikut
- 5 Tanda Status Kewangan Anda Lebih Baik Daripada Kebanyakan Individu Lain
- Macron Presiden Baru Perancis Lambang Lelaki Yang Setia Dengan Cinta
Beberapa pemain terpaksa diketepikan kerana masalah kecederaan seperti Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi, Azam Azmi Murad dan Romel Morales.
Lebih menarik, Syafiq Ahmad turut kembali dipanggil memperkuatkan jentera serangan bagi menggantikan tempat Romel Morales.
Kem latihan pusat itu akan bermula pada hari isnin, 27 Mei 2024 selepas setiap pemain selesai tugasan bersama kelab masing-masing.
Antara pemain baharu yang tersenarai ialah penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Kedah Darul Aman FC), Adib Ra’op (Penang FC), Feroz Baharudin (Johor Darul Ta’zim), Declan Lambert (Kuala Lumpur City FC), dan Engku Shakir Engku Yacob (Terengganu FC).
Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan kelima Kumpulan D menentang Republik Kyrgyz pada Khamis, 6 Jun 2024 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek sebelum terbang pulang bagi perlawanan keenam bertemu Chinese Taipei di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 11 Jun 2024.
Sementara dua lagi pertembungan lain dalam Kumpulan D menyaksikan Chinese Taipei bertemu Oman di Taipei pada 6 Jun 2024 sebelum Oman menanti kunjungan Republik Kyrgyz di Muscat pada 11 Jun 2024.
Kemenangan amat penting untuk mencerahkan peluang mendapatkan tiket automatik layak ke Piala Asia 2027 serta mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.