Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon dilaporkan sedia melepaskan jawatannya sekiranya khidmat beliau tidak diperlukan lagi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurut laporan Berita Harian, barisan kejurulatihan Kim Pan Gon telah menghantar surat kepada badan induk itu dan menuntut pampasan tiga bulan sekiranya FAM membuat keputusan untuk menamatkan khidmat mereka.

Baca Juga:

“Saya difahamkan barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya termasuk Pan Gon sudah menghantar surat itu sekali gus bersedia untuk meninggalkan pasukan kebangsaan jika khidmat mereka tidak diperlukan.

“Jika mengikut perkiraan, kontrak mereka sepatutnya berakhir pada tahun depan namun mereka sudah bersedia meninggalkan pasukan dengan hanya meminta tiga bulan gaji saja,” menurut sumber Berita Harian.

Kekalahan dua kali kepada Oman ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 mengundang pelbagai kritikan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan. Ada juga yang mempersoalkan tindakan KimPan Gon menerapkan gaya permainan ‘long ball’ sehingga sukar menjaringkan gol.

Situasi itu turut menjadikan peluang untuk mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2023 dan Piala Asia 2027 secara automatik semakin sukar selepas skuad negara ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu kumpulan D, Oman dan Kyrgyzstan.

Sebelum ini, Harimau Malaya tewas kepada Jordan dan Bahrain ketika saingan peringkat kumpulan Piala Asia 2023 di Qatar sehingga memberi impak kepada kedudukan ranking FIFA.

Sebagai rekod, antara pencapaian Pan Gon adalah berjaya melonjakkan skuad kebangsaan sehingga menghuni ranking ke-130 dunia selain berjaya membawa Malaysia mara ke Piala Asia 2023 secara merit serta naib juara Pestabola Merdeka 2023.